KUCHING: Tindakan membasmi kegiatan penyalahgunaan dadah perlu dilaksanakan hingga ke peringkat akar umbi dengan melibatkan kerjasama masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata, beliau sangat komited dengan permasalahan dadah terutama di Demak Laut dan akan menyokong tindakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam memerangi musuh nombor satu negara itu.
Malah menurutnya, peranan masyarakat akan diperkemaskan dengan menggalakkan komuniti menggerakkan Program Memerangi Dadah Secara Habis-Habisan dengan penglibatan dalam Skuad 1Malaysia.
"Saya menyeru agar tindakan membasmi dadah harus diteruskan dan dibanteras hingga ke peringkat akar umbi dengan kerjasama komuniti," katanya.
Dr Hazland petang semalam bersama 30 ahli rombongan yang terdiri daripada ketua kaum dan penghulu di kawasan Demak Laut mengikuti Sesi Randau Bersama AADK Negeri Sarawak yang turut dihadiri Pengarah AADK Negeri Sarawak, Wan Madihi Wan Salleh serta Timbalan Pengarah AADK Negeri Sarawak, Kartina Ujin.
Sesi tersebut bertujuan untuk memberi kefahaman kepada semua jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), ketua kaum dan penghulu di kawasan Demak Laut tentang senario permasalahan dadah di Demak Laut dan pelan tindakan yang cuba dicapai dalam mengatasi masalah dadah di kawasan mereka.-Sarawakiana
Masyarakat Perlu Bantu Perangi Dadah
Reviewed by Unknown
on
December 09, 2016
Rating:
Reviewed by Unknown
on
December 09, 2016
Rating:

No comments: