Seo Services

Maut Diseret Lori Sampah Dipandu Rakan


KUALA LUMPUR: Seorang pekerja sebuah syarikat pembersihan maut selepas dilanggar dan diseret sebuah lori sampah yang dipandu rakannya dalam satu kejadian di Apartmen Vista Harmoni, Cheras di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul 8.20 pagi itu, mangsa, Nurul Amin Abdul Kajur yang juga merupakan warga Myanmar dan pemegang kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori sampah yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun mengundurkan lori menghala ke rumah sampah di apartmen tersebut.

“Ketika kejadian, mangsa berada di belakang lori tersebut untuk memasukkan sampah ke dalam lori.

“Selepas sampai di hadapan rumah sampah itu, pemandu lori berkenaan sudah menekan brek tetapi pada masa itu lori sampah tersebut masih bergerak sebelum melanggar tong sampah yang dipegang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Shafie berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa terseret ke belakang dan terhempap ke dinding rumah sampah berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE


Maut Diseret Lori Sampah Dipandu Rakan Maut Diseret Lori Sampah Dipandu Rakan Reviewed by Unknown on December 19, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.