KUCHING: Desakan pihak tertentu menyebabkan Perhimpunan 'Kami Perlu Litar' yang sepatutnya berlangsung 18 Disember ini di perkarangan tempat letak kereta Stadium Negeri terpaksa dibatalkan.
Menurut sumber, perhimpunan tersebut terpaksa dibatalkan kerana desakan pihak tertentu dan penganjur akur dengan arahan terbabit.
“Belum pun sempat permit perhimpunan kami diluluskan, saya telah mendapat beberapa panggilan telefon daripada individu tertentu yang mendakwa dirinya wakil daripada kementerian, dengan arahan untuk membatalkan perhimpunan.
"Saya telah diberikan alasan yang tidak munasabah selain terdapat unsur ugutan dalam perbualan tersebut.
“Saya amat kesal dengan situasi yang berlaku sekarang kerana objektif sebenar perhimpunan aman ini hanyalah untuk menyerahkan memorandum untuk jemputan berdialog bersama menteri bertanggungjawab tetapi apa yang digambarkan, kami menganjurkan perhimpunan setaraf perhimpunan haram,” katanya.
Menurutnya, permohonan penganjuran berkaitan sukan bermotor bagi tahun 2017 akan dibatalkan oleh pihak kementerian sekiranya perhimpunan diteruskan manakala status berdaftar kelab selaku penganjur akan dibatalkan.
“Ribuan penggiat dan peminat sukan permotoran dari seluruh pelusuk negeri telah menyatakan persetujuan untuk menghadiri perhimpunan tersebut Ahad ini kecewa dengan pengumuman pembatalan perhimpunan tersebut malam tadi.
“Melalui perbualan di telefon semalam, saya dimaklumkan oleh individu tersebut bahawa pihak kementerian akan menganjurkan lebih banyak kejohanan sukan bermotor tahun depan dan akan memberikan lebih perhatian terhadap keperluan penggiat sukan permotoran di Sarawak.
“Kami benar-benar berharap, dengan persetujuan membatalkan perhimpunan ini, pihak kementerian akan mengotakan janji sepertimana yang dinyatakan oleh individu tersebut," ujarnya.
Beliau menegaskan, pembatalan perhimpunan sudah diwar-warkan malam tadi dan segala aktiviti yang berlaku pada hari terbabit tiada kaitan dengan penganjur perhimpunan.-Sarawakiana
Perhimpunan 'Kami Perlu Litar' Terpaksa Dibatalkan
Reviewed by Azmin
on
December 16, 2016
Rating:
No comments: