PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengutuk serangan bom kereta semalam yang berlaku di bandar Kayseri, 322 kilometer dari Ankara, Turki, yang mengorbankan 13 orang serta mencederakan 55 yang lain.
Kementerian Luar, dalam satu kenyataan hari ini, merakamkan rasa simpati Malaysia dan ucapan takziah kepada Kerajaan serta rakyat Republik Turki selain kepada keluarga dan mangsa yang terbabit dalam serangan itu.
Malaysia juga berharap pihak yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan manakala Kedutaan Besar Malaysia di Ankara mengesahkan tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit dalam serangan bom berkenaan.
Kedutaan juga akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Turki dan rakyat Malaysia di sana termasuk pelajar yang menuntut di Kayseri.
Pada masa sama, pihak kementerian turut mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin atau pun berhasrat untuk mengadakan lawatan ke Turki sentiasa berhati-hati dan peka serta merujuk kepada panduan keselamatan yang disiarkan di laman sesawang Kementerian Luar. - BH
Serangan Bom Di Turki, Tiada Rakyat Malaysia Terbabit
Reviewed by uMieySurianie
on
December 18, 2016
Rating:
No comments: