Seo Services

Transmisi Seksual Penyumbang Jangkitan HIV


KUCHING: Transmisi seksual merupakan penyumbang utama jangkitan HIV (Human Immunodeficiency Virus) di Sarawak sejak kes pertama dikesan di negeri ini pada 1989.

Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata keadaan itu amat membimbangkan kerana penularan HIV menerusi transmisi seksual amat sukar ditangani berbanding jangkitan melalui penagihan dadah suntikan (IDU).

“Penularan HIV di Sarawak berbeza berbanding di Semenanjung Malaysia, kerana dari dahulu lagi transmisi seksual adalah penyumbang terbesar, IDU sangat rendah.

“Ini yang membimbangkan (kita), kita telah mencapai kejayaan menurunkan penularan HIV menerusi IDU dengan ketara tetapi kita berdepan masalah baharu iaitu menerusi tingkah laku seksual yang tidak baik. Ini menjadi cabaran besar kepada semua pihak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini semalam.

Menurut Dr S. Subramaniam, transmisi utama jangkitan HIV di Malaysia secara amnya menunjukkan perubahan, bermula 2010 daripada transmisi akibat IDU kepada transmisi secara seksual.

Pada tahun 2015 katanya, sebanyak 78 peratus kes baharu jangkitan HIV adalah melalui transmisi seksual manakala 17 peratus adalah disebabkan penagihan dadah suntikan.

“Dalam menurunkan risiko jangkitan menerusi hubungan seksual, kementerian berdepan cabaran sikap, bagaimana fikiran dan budaya seseorang itu boleh berubah.

“Perkara inilah yang agak sukar dilakukan terutama melibatkan hubungan homoseksual dalam negara seperti Malaysia, yang tidak mengiktiraf amalan itu, menyebabkan pihak bertanggungjawab berdepan cabaran besar dalam melaksanakan langkah-langkah pencegahan secara terbuka,” ujarnya.

Statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menunjukkan peratusan jangkitan HIV disebabkan transmisi seksual di Sarawak pada 2015 ialah 99 peratus iaitu homoseksual 42.8 peratus manakala heteroseksual 56 peratus.

Manakala bilangan kes HIV pada 2015 berkurangan sebanyak 2.1 peratus (230 kes) berbanding 235 kes pada 2014.

Sementara bilangan kes AIDS pada 2015 ialah 128 kes berbanding 133 kes pada 2014 dan jumlah kematian HIV/AIDS pada 2015 ialah 35 berbanding 52 kematian pada 2014.

Justeru ujarnya, sokongan serta kerjasama erat antara kementerian dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Majlis AIDS Malaysia sangat penting dan ia telahpun terjalin dengan baik sekali.

Dr S. Subramaniam memberitahu, di sebalik cabaran-cabaran dalam menangani penularan penyakit itu pada keseluruhannya jangkitan baharu HIV/AIDS di seluruh dunia mencatat penurunan sebanyak 35 peratus sejak 2000.

Peratusan kematian akibat AIDS juga menunjukkan penurunan sebanyak 42 peratus sejak 2004.

“Di negara kita, senario epidemik AIDS telah menunjukkan trend menyerupai senario epidemik AIDS dunia. Data menunjukkan jangkitan baharu HIV/AIDS di Malaysia pada 2015 menurun sebanyak 52 peratus manakala kematian akibat AIDS pada tahun sama menurun sebanyak 22 peratus.

“Pada akhir tahun 2015, kadar notifikasi kes baharu HIV ialah 10.9 bagi 100,000 penduduk berbanding sasaran ditetapkan WHO iaitu 11.0 bagi 100,000 penduduk,” katanya sambil menambah, kadar jangkitan baharu dijangka menurun kepada 10.7 pada hujung tahun ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, Pengarah JKNS Dr Jamilah Hashim, Presiden Majlis AIDS Malaysia Bakhtiar Talhah dan Ketua Pegawai Eksekutif BCCK Eric Van Piggelan. - UB
Transmisi Seksual Penyumbang Jangkitan HIV Transmisi Seksual Penyumbang Jangkitan HIV Reviewed by Azmin on December 09, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.