KUALA LUMPUR: UMNO mampu bertahan sehingga hari ini kerana amalan prinsip wala' dan kesetiaan dalam tradisi UMNO, kata Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata prinsip wala' UMNO membawa maksud nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan bai'ah yang wajib diberikan kepada pemimpin yang sah, dan di dalam konteks UMNO iaitu presiden parti manakala bagi kerajaan ialah Perdana Menteri.
"Wala' yang diberikan bukanlah sekadar kepada jasad, tubuh atau individu, akan tetapi, wala' sebenarnya merangkumi institusi kepresidenan atau keperdana-menterian, yang disandang oleh seseorang," kata Najib dalam Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.
Jelasnya, selama lebih tujuh dekad UMNO berjaya bertahan walaupun menghadapi pelbagai rintangan serta sering kali cuba dijebak ke dalam kancah perpecahan dan berpuak-puak.
Perdana menteri berkata ia merupakan perlambangan hebat parti terbesar orang Melayu itu menjunjung adat dan budaya Timur serta bersendikan landasan syarak, dalam menyatakan sokongan dan dukungan terhadap seorang presiden atau perdana menteri selama ini.
Memberikan contoh beberapa pergolakan termasuk episod pertembungan antara 'Team A' dan 'Team B' ketika pemilihan presiden UMNO pada 1987 dan pengisytiharan UMNO sebagai pertubuhan haram pada 4 Feb 1988, Najib berkata orang UMNO tetap setia bersama pemimpin mereka.
"Siapa juga pada saat-saat genting dan mendebarkan tersebut, yang berdiri teguh menyokong dan membantu Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) selaku presiden, sehingga UMNO baharu secara rasmi diterima semula secara sah? Siapa lagi, siapa lagi, kalau bukan kita, orang UMNO," katanya.
Semasa era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib berkata beliau selaku timbalan presiden parti ketika itu bersama-sama majoriti pimpinan dan keseluruhan anggota UMNO tetap setia bukan sahaja ke atas jasad, tetapi institusi yang dijunjung dan dipegang oleh presiden UMNO serta perdana menteri.
Tegasnya, wala' dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa yang akan berada di puncak kelak dan mengambil alih jawatan presiden dan perdana menteri.
"Wala' dan kesetiaan dalam budaya serta alam Melayu serta agama kita (Islam) adalah semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu yang tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya," katanya.
Dalam ucapannya, Najib turut memuji kesetiaan dan wala' Puteri UMNO seperti yang diberikan Ketua Puteri UMNO Bahagian Semporna, Zakiah Kalipunya ketika berdepan episod dan kemelut bahagian itu, yang tetap setia dan teguh serta tidak bertindak keluar parti.
"Begitu juga dengan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh Rohaiza Ahmad dan pasukannya.
"Inilah contoh wala' dan kesetiaan sejati yang kita harapkan," katanya sambil meminta para hadirin memberikan tepukan gemuruh kepada individu berkenaan.
Menyentuh tentang kepimpinan beramanah, Najib berkata beliau memilih untuk terus berjiwa besar, menasihat serta menegur secara baik dan bukannya menghentam secara peribadi bekas-bekas pemimpin yang telah meninggalkan parti itu.
"Kebanyakan mereka merupakan bekas-bekas pemimpin, menteri bahkan sampai ke tahap negarawan yang telah mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia atas nama Allah dengan kalimah-kalimah Wallahi, Wabillahi, Watallahi, namun kini, telah menjadi orang asing malah mengkhianati perjuangan ini," katanya.
Perdana menteri berkata beliau turut bertanya kepada para ulama mengenai pelanggaran sumpah tersebut dari segi hukum dan kesannya.
Jawapan yang diperoleh, katanya ialah ia merupakan satu dosa yang besar dan tanda-tanda sifat kemunafikan seseorang itu.
"Tidak hairanlah kalau benda ini berlaku, kerana ada orang itu sendiri yang pernah menyebut, Melayu mudah lupa.
"Lalu, saya ingin bertanya sekarang ini, siapa sebenarnya Melayu yang mudah lupa itu? Pastinya bukan kita, kerana Melayu UMNO yang sejati adalah Melayu yang setia dan mengenang budi, dan tidak mengkhianati parti," katanya.- BERNAMA
UMNO Bertahan Sehingga Kini Kerana Amalan Wala' - PM Najib
Reviewed by uMieySurianie
on
December 01, 2016
Rating:
No comments: