GEORGETOWN: Orang lain ke surau menunaikan solat, namun lain pula halnya dengan seorang wanita apabila dia mengambil kesempatan itu untuk melarikan beg tangan seorang guru yang diletakkan di atas rak al-Quran di surau Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, petang kelmarin.
Bagaimanapun, wanita itu kini ‘panas punggung’ kerana dia tidak menyedari perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dalam surau berkenaan.
Kejadian itu hanya disedari jam 3.30 petang oleh mangsa, seorang guru wanita berusia 33 tahun yang ketika itu meletakkan beg tangannya atas rak berkenaan kerana mengambil wuduk untuk menunaikan solat Zuhur.
Menurut sumber, selesai mengambil wuduk, mangsa masuk semula ke surau dan terkejut mendapati beg tangannya hilang.
“Guru wanita berkenaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan hasil semakan melalui CCTV mendapati seorang wanita bertudung serta berbaju lengan panjang menghampiri rak terbabit.
“Suspek dilihat mengambil beg tangan mangsa dan keluar dari surau dalam keadaan tergesa-gesa dan polis kini mengesan wanita berkenaan,” katanya.
Menurutnya, berikutan kes itu, mangsa kerugian RM1,500 apabila telefon bimbit yang baru sebulan dibeli serta wang tunai RM500 yang disimpan dalam beg dilarikan suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Menurutnya, polis menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 380, Kanun Keseksaan.
Masuk Surau, Rembat Beg Tangan Guru
Reviewed by Unknown
on
December 01, 2016
Rating:
No comments: