Seo Services

Indonesia ‘Ajar’ Kezaliman Netanyahu



SYDNEY: Gara-gara dilarang memasuki ruang udara Indonesia, sebuah pesawat yang membawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terpaksa dilencongkan mengikut laluan yang lebih jauh daripada kebiasaan.

The Guardian melaporkan, in­siden itu berlaku ketika Ne­tan­yahu dan delegasinya dalam penerbangan dari Singapura ke Sydney, Australia untuk menghadiri program lawatan kerja buat kali pertama di negara kanggaru itu beberapa hari lalu.

Disebabkan pertukaran laluan itu, penerbangan Netanyahu dengan pesawat El Al yang sepatutnya memakan masa sekitar lapan jam setengah bertukar menjadi lebih daripada 11 jam.

Perkara itu kemudian disahkan oleh salah seorang anggota de­legasi Netanyahu kepada akhbar tersebut.

Selain Indonesia yang memiliki penduduk beragama Islam paling ramai di dunia, kebanyakan negara Islam lain termasuk Pakistan dan Malaysia turut me­ngenakan sekatan terhadap Israel daripada memasuki ruang udara mereka.

Hampir semua negara itu juga dikatakan tidak memiliki sebarang hubungan diplomatik de­ngan Israel disebabkan penindasan yang dilakukan rejim Zionis terhadap penduduk Palestin.

Akhbar The Australian dalam laporannya memberitahu, pesa­wat yang ditempah khas itu terpaksa melalui Fi­lipina dan merentasi Papua New Guinea yang bersempadan de­ngan Indonesia sebelum tiba di Sydney.

Akhbar sama mendakwa, pe­nerbangan pesawat itu mungkin yang terakhir buat Netanyahu selepas Kabinet Israel meluluskan pembelian pesawat untuk kegunaan Perdana Menteri dan Pre­siden.

Washington Post pula menjelaskan, pesawat yang membawa Netanyahu dari Tel Aviv ke Si­ngapura telah mengambil laluan yang luar biasa dan ditetapkan dengan mengelak ruang udara Arab Saudi serta negara lain.

Namun, wakil El Al tidak memaklumkan negara terlibat.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, akhbar Times of Israel memetik kenyataan Netanyahu sebagai berkata, Indonesia dan Israel sepatutnya menjalin kerjasama erat khususnya dalam memera­ngi keganasan.

“Saya juga memiliki beberapa rakan Facebook dari Indonesia,” kata Netanyahu.

Walau bagaimanapun, Indonesia dalam kenyataan balas pula mahu Israel segera ‘memerdekakan’ Palestin jika mahu menjalin hubungan diplomatik.

“Perkara paling penting yang perlu mereka (Israel) lakukan ialah memberikan kemerdekaan kepada rakyat Palestin,” kata Setiausaha Kabinet Indonesia, Pramono Anung.

Terdahulu, The Independent melaporkan, dalam sidang akhbar di Sydney, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull mengkritik ‘resolusi berat sebe­lah’ Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin ditamatkan.

Beliau juga mengulangi soko­ngan Australia terhadap penyelesaian dua negara kepada konflik Israel-Palestin.

Sementara itu, kira-kira 650 penunjuk perasaan berhimpun secara aman di Town Hall dekat sini bagi membantah kunjungan Netanyahu ke Australia.- Utusan Malaysia
Indonesia ‘Ajar’ Kezaliman Netanyahu Indonesia ‘Ajar’ Kezaliman Netanyahu Reviewed by uMieySurianie on February 24, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.