KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kerajaan menetapkan tiga hasil utama yang perlu dicapai sepanjang tahun ini bagi menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) termasuk 'feel good factor', kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.
Beliau berkata 'feel good factor' atau 'rasa gembira' merupakan inisiatif yang bertujuan meningkatkan semangat positif dan kesedaran rakyat terhadap pelbagai inisiatif kerajaan.
Dua lagi hasil utama yang ditetapkan untuk dicapai ialah penyiapan Dokumen Akhir TN50 dan data untuk analisis, iaitu segala bentuk pengumpulan maklumat perlu berbentuk digital, katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 bagi kementerian itu di Angkasapuri, hari ini.
Beliau berkata sokongan dan kerjasama seluruh penjawat awam amat diperlukan bagi menjayakan inisiatif-inisiatif yang bakal dilaksanakan itu.
"Dalam merealisasikan TN50, kita semua selaku penjawat awam harus bersama-sama bangun dan bekerjasama kerana transformasi ini melibatkan proses dan gerak kerja jangka panjang bagi membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa serta berminda 'par excellence'," katanya.
TN50 yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
Mengulas lanjut, Jailani berkata bagi menjayakan inisiatif 'feel good factor' itu, KKMM melalui Jabatan Penerangan akan melaksanakan Program Negaraku: Komuniti 1Malaysia yang dijadual dilancarkan oleh perdana menteri pada Sabtu (25 Feb) ini di Pekan, Pahang.
Tujuan utama komuniti 1Malaysia adalah untuk menanam dan menyemarakkan perasaan cintakan negara dalam kalangan rakyat di negara ini, katanya.
Dalam pada itu, Jailani dalam ucapannya turut menekankan kepentingan untuk penjawat awam mengekalkan integriti dan rasa bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka.
Katanya peningkatan kes-kes rasuah membabitkan penjawat awam seperti yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sahaja boleh menghakis kepercayaan masyarakat, malah merosakkan imej kerajaan di mata dunia.
"Jika tidak dibendung, penyakit sosial ini yang mungkin dianggap amalan biasa oleh sesetengah pihak boleh menjadi barah yang sukar diubat," katanya.
Pada majlis itu, Jailani mengucapkan tahniah di atas pencapaian prestasi cemerlang kepada seramai 534 orang penerima yang hadir daripada sejumlah 698 warga KKMM, jabatan dan agensinya yang menerima anugerah perkhidmatan cemerlang 2016. - BERNAMA
Tiga Hasil Utama Realisasikan TN50
Reviewed by Azmin
on
February 23, 2017
Rating:
No comments: