KUCHING: Keadaan banjir di negeri ini setakat jam 4 petang semalam masih belum pulih sepenuhnya walaupun keadaan cuaca cerah hampir di semua bahagian dalam negeri.
Menurut Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata stesen air yang telah mencapai aras amaran setakat jam 10 pagi semalam adalah di Nanga Lemai B di Balingian dan Long Panai, Baram Miri kini menunjukkan trend menurun.
“Bagaimanapun, jumlah sekolah tidak beroperasi masih statik iaitu 19 sekolah yang masih ditutup setakat 4 petang hari ini (semalam) ekoran terputus hubungan.
“Juga tiada pusat pemindahan dibuka dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia giat memantau sebarang perkembangan banjir di kawasan terlibat,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Mengulas mengenai sekolah yang masih ditutup, beliau memberitahu ia melibatkan sekolah di enam daerah termasuk lima sekolah di di bawah pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Baram, sembilan di PPD Sibu, sebuah sekolah masing-masing di PPD Mukah, Kanowit dan Selangau serta dua buah di PPD Selangau.
Katanya menambah, penduduk di dalam kawasan terjejas turut dinasihati agar sentiasa berwaspada kerana dikhuatiri hujan lebat yang bertembung dengan air pasang boleh menyebabkan banjir kilat berlaku pada bila-bila masa.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar 42 pek makanan ke kawasan terjejas di Lubok Kulat pada pukul 10 pagi semalam,” jelasnya.-UB
Banjir Di Sarawak Belum Pulih Sepenuhnya
Reviewed by Unknown
on
March 05, 2017
Rating:
No comments: