PUSA: Rakyat harus bersyukur kerana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masih lagi mampu diteruskan dan sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Razaili Gapor berkata, usaha kerajaan menerus pemberian BR1M menunjuk keprihatinan dan kemampuan negara dalam membantu rakyat termasuk memberi bantuan secara langsung kepada rakyak yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Kerajaan bukan sahaja membantu melalui bantuan BR1M tetapi banyak lagi bantuan disalur untuk rakyat seperti Bantuan Khas Persekolahan 1Malaysia (BKP1M), Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan sebagainya.
“Bantuan seperti ini memerlukan tindakan dan usaha rakyat sendiri mengisi permohonan masing-masing sebelum mendapat sebarang kelulusan,” katanya.
Jelasnya, rakyat perlu menyemak dan mengesah permohonan setiap hujung tahun supaya mereka yang layak tidak tercicir.
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim dalam satu Majlis Penyampaian Baucar BR1M 2017 Peringkat Daerah Pusa yang berlangsung di Dataran Tandang Sari pada Khamis.
Tambahnya, rakyat seharusnya bertindak kerana bantuan sebegini juga memerlukan usaha dan bantuan sebegini tidak datang bergolek
“Dalam kesempatan ini juga saya menasihati penerima bantuan agar baucar BR1M yang telah ditunaikan kelak dapat digunakan sebaiknya,” katanya.
Sebanyak 811 baucar BR1M diagih kepada penerima daripada enam kampung di Daerah Pusa yang layak menerima dan tidak menggunakan proses pembayaran BR1M melalui akaun simpanan terdiri daripada warga emas, golongan dewasa dan individu bujang daripada Kampung Hilir, Tengah dan Hulu Pusa serta Kampung Tambak, Dato Godam dan Kalok/Lot.
Daripada jumlah baucar yang diserahkan kepada penerima pada hari itu adalah merupakan sebahagian daripada keseluruhan 1,013 baucar bagi Daerah Pusa.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Politik kepada Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Safiudin Matsah, Pegawai Daerah Pusa, Bujang Budin, Pemanca Daerah Pusa, Suut Salleh dan Penghulu Kampung Pusa, Awang Mohamad Raziee Awang Mohamad Zain.-UB
BR1M Sedikit Sebanyak Bantu Ringan Beban
Reviewed by Unknown
on
March 05, 2017
Rating:
No comments: