MIRI: Keadaan cuaca buruk dan tidak selamat untuk penerbangan menyebabkan helikopter milik Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak dapat menghantar bekalan makanan kepada penduduk terjejas banjir di Long Sobeng.
Memetik laporan Utusan Borneo, helikopter berkenaan yang membawa bekalan pelbagai jenis makanan kering termasuk beras berlepas dari hangar helikopter di Lapangan Terbang Miri pada jam 2.45 petang namun berpatah balik semula selepas 15 minit kemudian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri yang turut menaiki helikopter tersebut berkata pihaknya mencuba semula untuk melakukan penghantaran bekalan makanan tersebut ke Long Sobeng pada pagi ini.
“Saya sedih dan kesal kerana tidak dapat menghantar bekalan makanan ini untuk penduduk di sana (Long Sobeng) disebabkan cuaca buruk.
“Namun kami akan mencuba lagi pagi esok (pagi ini) untuk terbang ke sana, sebaik keadaan cuaca selamat untuk penerbangan,” katanya.
Perjalanan menaiki pesawat helikopter ke Long Sobeng memakan masa selama 40 minit manakala melalui jalan darat yang masih bergantung kepada jalan balak mengambil masa selama empat hingga lima jam.
Menurut Dennis, meskipun banjir di Long Sobeng sudah mulai surut petang tadi, namun jalan daratnya masih ditenggelami air dan berbahaya dilalui.
“Manakala satu-satunya jambatan kayu menghubungkan jalan utama dengan kampung serta sekolah di Long Sobeng turut dihanyut arus banjir akibat tanah yang terhakis,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, petang semalam.
Lebih 200 penduduk rumah panjang di Long Sobeng, tidak termask 45 murid sekolah serta 17 guru dan kakitangan bukan guru di SK Long Sobeng terjejas akibat banjir serta terputus hubungan melalui jalan darat.
Pada 28 Februari lalu, pelajar SK Long Sobeng yang merupakan sekolah berasrama penuh serta guru dan kakitangan bukan guru terpaksa dipindahkan ke rumah panjang Long Sobeng setelah paras air naik mendadak hingga mencecah bumbung sekolah berkenaan yang terletak di kawasan rendah di Tinjar, Baram.
Sementara itu, pemantauan oleh pihak bomba dan penyelamat, mendapati paras banjir di Long Loyang, Long Jegan dan Long Teran turut menunjukkan tanda surut namun agak perlahan dan sedikit.
Meskipun keadaan banjir di beberapa kawasan agak terkawal namun Dennis menasihati penduduk di rumahrumah panjang di Tinjar dan Ulu Baram, supaya sentiasa berwaspada kerana bimbang paras air boleh naik mendadak jika hujan turun lagi di kawasan hulu.-Sarawakiana
Cuaca Buruk, Bekalan Makanan Penduduk Long Sobeng Tidak Dapat Dihantar
Reviewed by Unknown
on
March 02, 2017
Rating:
No comments: