Seo Services

Tebaloi: Snek Tradisi Zaman Moden


TIDAK semua mengenali kewujudan salah satu snek tradisi kegemaran orang Melanau iaitu tebaloi.

Mungkin ramai yang mengusahakan snek ini sebagai jualan komersil, namun tidak pula yang mengekalkan resipi dan cara pembuatannya turun-temurun.

Di Kampung Tutus Hilir, Mukah, Syamsiah Zaffarin, 31, merupakan generasi ketiga yang mengusahakan snek ini secara tradisi.

“Sebelum kilang ini didirikan lagi, nenek saya sebenarnya sudah mula membuat tebaloi di rumah, dan ketika 70-an kilang ini didirikan, dia mula membuat tebaloi di sini,” katanya kepada Utusan Borneo yang baru-baru ini melawat kilang berkenaan di Mukah.

Sejak itu, ibunya turut membantu neneknya membuat snek tersebut dengan cara tradisi.

Bukannya jahil dengan kemajuan teknologi dan tidak mahu akur dengan peredaran zaman, namun permintaan pelanggan kebanyakannya mahukan perisa daripada ‘asap’ sedap bukannya perisa ‘besi’ daripada pemanggang moden membuatkan keluarganya terus menggunakan teknik tradisi untuk membuat tebaloi.

“Kita sudah cuba memanggang tebaloi di dalam ketuhar tetapi pelanggan kata rasanya tidak sesedap yang dibakar dengan kayu api,” jelasnya sambil matanya berair kerana terkena asap daripada kayu api.

Beliau dan keluarganya akur dan terus menggunakan teknik memanggang dan membakar seperti itu untuk mengekalkan rasa dimahukan oleh pelanggan sehingga sekarang.

Bersama ibu dan tiga lagi pekerja yang diupah, Syamsiah mengakui pengeluaran tebaloi dapat mencecah 800 ke 1,000 paket sehari.

“Satu paket kita jual dengan harga borong pada harga RM1 dan terdapat empat keping tebaloi di dalamnya,” ujar beliau.

Jualan snek itu juga katanya dapat membantu keluarga dan menambah pendapatan walaupun keadaan kilang tersebut sudah kelihatan agak uzur.

Menurutnya, kilang itu disewa dengan kadar bayaran RM10 sehari dan untuk kegunaan orang kampung bagi membuat apa-apa sahaja kuih yang ingin dihasilkan.

Namun, sayang sekali ketika ini hanya beliau dan keluarganya sahaja yang menyewa kilang itu bagi membuat tebaloi.

Keuzuran kilang itu tidak dinafikan olehnya, namun bagi tetap mengeluarkan snek tradisi, mereka perlukan kemudahan itu.

“Minta tolong jasa baik sesiapa sahaja terutamanya daripada pihak kerajaan untuk baiki keadaan kilang ini,” katanya.

Bukan sahaja keadaan kilang, namun beberapa peralatan turut harus diganti untuk memudahkan pihaknya dalam pembuatan snek berkenaan.

Beliau menjelaskan tidaklah begitu susah untuk berniaga dan terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti itu, apa yang penting adalah kesanggupan dan minat untuk berniaga.

“Tak susah pun jika ada minat dan sanggup berniaga, semua bakal menjadi wang dan dapat membantu keluarga,” jelasnya lagi.

Mengenai hasil pengeluaran, keluarganya sekarang menghasilkan lima perisa dan warna berbeza iaitu putih untuk asli, kuning untuk kunyit, hijau untuk pandan, merah jambu untuk strawberi dan coklat untuk koko.

Antara bahan-bahan utama yang digunakan untuk membuat tebaloi adalah tepung sagu, kelapa, gula dan telur.

Harapan serta masa depan beliau dan generasi seterusnya masih lagi bergantung kepada penghasilan snek tradisi tebaloi ini.

Adakah ia masih berupaya diteruskan oleh generasi keempat keluarga Syamsiah dan lebih tepat lagi oleh anak-anaknya atau pupuskah cara penghasilan tradisional tebaloi seperti kilang penghasilannya yang juga sudah begitu uzur pada ketika ini?-UB
Tebaloi: Snek Tradisi Zaman Moden Tebaloi: Snek Tradisi Zaman Moden Reviewed by Unknown on March 02, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.