KUCHING: Ketua jurulatih Sarawak, David Usop mengakui anak buahnya gagal memaanfaatkan banyak peluang untuk menjaringkan gol menyebabkan Sarawak kecundang 2-0 dalam aksi Liga Super 2017 menentang Felda Utd.
Jika sebelum ini, Sarawak agak cemerlang ketika beraksi di gelanggang lawan namun perlawanan malam Sabtu lepas memperlihatkan anak buah David ibarat hilang punca selepas gagal meraih sebarang mata.
“Beberapa kali kita (Sarawak) memiliki peluang untuk menjaringkan gol atas kesilapan pasukan tuan rumah, Felda United namun gagal dihasilkan.
“Akan tetapi kita tidak berjaya menyempurnakan peluang di depan pintu gol dan kita kalah dalam perlawanan ini,” katanya.
Memetika laporan Utusan Borneo, David tetap berpuas hati dengan mutu persembahan pemain-pemainnya terus memburu gol sehingga wisel penamat.
Bagaimanapun, saingan sengit skuad Bujang Senang turut menyukarkan Felda United bimbingan B Sathianathan membolosi gawang pada babak pertama.
Gol pertama Felda United hanya menjelma pada minit ke-54 menerusi Lucas Cano yang menyempurnakan hantaran Hadin Azman.
Manakala Hadin Azman turut mencetak nama dalam senarai penjaring pada minit ke-70 menghasilkan gol kedua meletakkan pasukan tuan rumah selesa di depan.
Berdasarkan analisis perlawanan terbabit, dua gol itu terhasil daripada gerakan bahagian kiri yang jelas menunjukkan kelonggaran Sarawak di posisi tersebut.
Selepas kekalahan itu, ternyata kelibat pertahanan kental, Ramesh Lai ditagih oleh penyokong setia Ngap Sayot untuk mengisi posisi itu.
Sarawak kini menghuni tangga kedua tercorot liga dengan tujuh mata selepas mengharungi lapan perlawanan.
Apapun, skuad Bujang Senang perlu bangkit dalam baki perlawanan sebelum menamatkan pusingan pertama sekali gus keluar daripada zon penyingkiran.-Sarawakiana
Gagal Manfaat Peluang Terhidang Punca Kalah
Reviewed by Unknown
on
March 06, 2017
Rating:
No comments: