Duta Korea Utara, Kang Chol, yang diisytiharkan sebagai ‘Persona Non Grata’ dan diberi tempoh sehingga 6 petang ini untuk keluar dari Malaysia, meninggalkan pejabat kedutaan negara itu di Jalan Batai, Bukit Damansara pada jam 3.55 petang tadi.
Beliau yang memakai kot hitam dilihat menaiki kereta jenis Jaguar yang merupakan kenderaan rasmi kedutaan itu bersama isterinya, Rin Yong Hui dan dua lagi lelaki termasuk pemandunya.
Kang Chol dipercayai dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) untuk menaiki penerbangan ke Beijing, China pada pukul 6.30 petang nanti.
Terdahulu, sepasukan pegawai dan anggota polis mula berkawal di hadapan pejabat Kedutaan Korea Utara susulan tempoh pengusiran 48 jam terhadap duta negara itu, Kang Chol akan tamat pada jam 6 petang ini.
Kira-kira 12 pegawai dan anggota polis berkawal di hadapan pintu pagar serta kawasan sekitar pejabat kedutaan yang dibanjiri hampir 100 petugas media dari dalam dan luar negara.
Ini termasuk anggota unit kereta peronda polis (MPV) dan motosikal Unit Rondaan Bermotosikal (URB) turut berada di sini untuk tugas kawalan.
Mereka dipercayai berada di sini untuk mengawal petugas media daripada menghampiri terlalu rapat dengan pintu pagar utama untuk masuk ke pejabat kedutaan.
Bagaimanapun, terdahulu lima individu bersama dua buah kenderaan dilihat meninggalkan kedutaan itu dengan salah sebuah dilihat diisi dengan beberapa bagasi serta kotak berbalut kanvas dipercayai milik duta itu.- BNBBC News
Kang Chol akhirnya tinggalkan kedutaan
Reviewed by Admin
on
March 06, 2017
Rating:
No comments: