KUCHING: Polis akan mengambil keterangan pengacara Azizul Ammar Abu Hassan dan kru penerbitan yang terlibat dalam program Sukan Tak Sentral hari ini.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata polis telah membuka siasatan berikutan laporan dibuat bekas jaguh pecut negara Watson Nyambek di Balai Polis Pusat Miri pada Isnin.
Bagaimana pun menurutnya, Ammar dan kru berkenaan tidak perlu dipanggil ke Miri kerana siasatan dibuat di semenanjung.
"Polis akan bertemu mereka yang terlibat di satu lokasi di Semenanjung hari ini.
"Kita akan siapkan siasatan secepat mungkin dan akan menentukan tindakan seterusnya selepas itu," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Watson pada Isnin membuat laporan polis terhadap pengacara dan pihak yang terlibat program komedi Sukan Tak Sentral yang didakwa menghina nama mendiang bapanya dengan menyamakan bunyi binatang. - Sarawakiana
Ammar dan Kru Penerbitan Dipanggil Beri Keterangan
Reviewed by Admin
on
April 26, 2017
Rating:
No comments: