KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ASEAN akan terus berkembang maju dan berjaya selagi negara-negara anggotanya mengekalkan keeratan dan kerjasama.
Perdana Menteri yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-30 dan mesyuarat berkaitan di Metro Manila berkata keeratan dan kerjasama .antara kesemua 10 buah negara di Asia Tenggara itu bukan sahaja perlu terus dikekalkan, tetapi juga perlu ditingkatkan dan ditambah baik lagi dari masa ke masa.
"KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) Negara ASEAN pada tahun 2016 sebanyak USD 2.5 trilion meletakkan rantau ini pada kedudukan ekonomi ke-7 terbesar dunia.
"Berdasarkan unjuran, pakar-pakar ekonomi dunia yakin bahawa ASEAN mampu melonjak menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang tahun 2050," katanya dalam blognya http://www.najibrazak.com malam ini.
Mengenai sidang kemuncak itu, Najib berkata ia adalah ulang tahun ke-50 sejak Deklarasi Bangkok ditandatangani oleh Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Malaysia sebelum diikuti oleh negara-negara Asia Tenggara lain seperti Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Myanmar dan Kemboja pada tahun-tahun berikutnya.
"Sejak tarikh itu, rantau dan negara-negara anggota Asia Tenggara telah berkembang pesat dan melangkah jauh, bukan sahaja dari segi pencapaian setiap negara secara individu, tetapi juga pencapaian kita sebagai sebuah rantau, hinggakan layaklah ASEAN digelar sebagai antara himpunan negara-negara serantau paling berjaya di dunia," katanya lagi.
Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Najib akan berlepas esok, diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Perdana Menteri juga dijadual menyampaikan ucaptama di acara Sidang Kemuncak 'Kesejahteraan Untuk Semua' anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).
Acara berkenaan akan memberi tumpuan terhadap usaha memacu pertumbuhan menerusi pembabitan usahawan mikro dan kecil dalam bidang perdagangan, perkhidmatan dan pertanian.
Menurut kenyataan itu, sidang kemuncak itu bertujuan untuk meneruskan usaha bagi pertumbuhan yang terangkum serta kesejahteraan untuk keseluruhan Komuniti ASEAN.
Selain itu, Perdana Menteri juga dijadual mengadakan beberapa perbincangan dua hala dengan rakan sejawatannya dari negara anggota ASEAN di luar sidang kemuncak berkenaan. Sidang Kemuncak ASEAN itu berlangsung dari 26 hingga 29 April ini.- BERNAMA
ASEAN Terus Berkembang Maju Selagi Negara Anggota Kekalkan Kerjasama - PM Najib
Reviewed by Unknown
on
April 27, 2017
Rating:
No comments: