MANILA: Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 bermula Jumaat ini, membuka ruang bagi pemimpin 10 negara anggota bertukar pandangan berhubung perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim, berkata delegasi Malaysia yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
"Perdana Menteri akan menyertai Sidang Pleno dan Pemukiman, selain sesi pemimpin ASEAN bersama Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) dan Wakil Belia ASEAN," katanya pada sidang media di Crown Towers Manila di sini, petang ini.
Hadir sama, Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid. Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijadual tiba di sini petang esok.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), dengan tema 'Perkongsian Bagi Perubahan, Mendepani Cabaran Dunia'.
Ia dijangka dirasmikan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. Ramlan berkata, Perdana Menteri juga akan mempengerusikan Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-10, selain menghadiri Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-12.
Katanya, Najib turut dijadual menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Kemakmuran Untuk Semua anjuran Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).
"Ia akan memberi tumpuan terhadap usaha memacu pertumbuhan menerusi usahawan mikro dan kecil dalam bidang perniagaan, perkhidmatan dan pertanian.
"Sidang kemuncak itu bertujuan meneroka pertumbuhan asli dan inklusif serta kemakmuran bagi seluruh Komuniti ASEAN," katanya.-BHONLINE
Najib Ketuai Delegasi Ke Manila
Reviewed by Unknown
on
April 26, 2017
Rating:
No comments: