Gambar Hiasan |
Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Sarawak adalah perkara yang dinantikan seluruh rakyat negeri ini selepas Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg membuat pengumuman mengenai perkara ini.
Walaupun ada pihak menanggap ia sebagai cerita dongeng namun Abang Jo sebenarnya sudah mempunyai perancangan untuk memastikan sistem tersebut dapat direalisasikan pada tahun 2020.
Netizen di Facebook turut menyokong usaha Abang Jo itu kerana dianggap membawa lembaran baharu kepada negeri ini.
Meskipun ada perancangan untuk menaiktaraf perkhidmatan bas awam di negeri ini, netizen lebih memilih pembinaan sistem LRT yang dianggap lebih menjimatkan masa.
Seorang pengguna Facebook menganggap, jika perkhidmatan bas dinaiktaraf sekalipun, jalan raya tetap sesak dan lebih baik LRT diwujudkan.
"Kalau guna bas banyak masa terbuang bukan sahaja menunggu tetapi di atas jalan ketika kesesakan.
"Jika ada LRT, kita boleh rancang masa dengan lebih berkesan lagi," katanya.
Abang Johari sebelum ini berkata, tahun 2020 dilihat sebagai tempoh sesuai pembinaan sistem LRT di Sarawak berasaskan kajian awal yang dibuat.
"Buat masa ini, tiada keputusan lagi dibuat. Kami masih di peringkat perancangan laluan.
"Kami sudah mendapatkan rakan kongsi serta syarikat yang sesuai untuk projek ini," katanya.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata Sarawak akan merangka pelan jangka panjang untuk menaik taraf pengangkutan awam di Sarawak termasuk pelan menggunakan sistem LRT.
Tambah beliau, kawasan yang akan dihubungkan adalah antara Kuching, Serian dan Samarahan.
Apabila ditanya sama ada perancangan tersebut akan melibatkan keseluruhan negeri dan bukan hanya bahagian selatan Sarawak, Abang Johari berkata perancangan laluan akan dibuat berdasarkan pembangunan infrastruktur di kawasan-kawasan tertentu.
"Kita perlu pastikan bahawa secara ekonominya pembinaan LRT tersebut adalah sesuai di tempat tersebut," ujarnya.-Sarawakiana
Netizen Sokong Pembinaan LRT Di Sarawak
Reviewed by Unknown
on
April 27, 2017
Rating:
No comments: