KUCHING: Sarawak telah menubuhkan jawatankuasa khas antara Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) Negeri dan Jabatan Pendidikan Sarawak bagi menangani masalah dokumen pengenalan diri murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah memaklumkan kerjasama antara JPN Negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dijalinkan susulan surat cadangan JPN ibu pejabat dan Kementerian Pendidikan Malaysia dikeluarkan 17 Januari lalu.
Memetik laporan Utusan Borneo beliau menjelaskan, usaha strategik tersebut telah dirangka oleh kedua-dua pihak lebih awal iaitu sejak Ogos lalu.
“Berdasarkan maklumat daripada Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), didapati seramai 1,297 murid di negeri ini pada tahun lepas berhadapan dengan masalah tidak ada dokumen pengenalan diri atau masalah status warganegara.
“Dengan penubuhan jawatankuasa antara JPN Negeri dan Jabatan Pendidkan Sarawak, kita berharap masalah berkenaan dapat diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya di sini, semalam.
Tambahnya, JPN dalam tempoh dua bulan lagi akan menyampaikan taklimat ke seluruh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di negeri ini serta bagi menyelesaikan masalah tersebut di peringkat akar umbi.
“Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk membolehkan JPN bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi menangani masalah itu di peringkat akar umbi,” katanya sambil menambah, pasukan tersebut akan turut membawa Mahkamah Bergerak bagi memudahkan proses angkat sumpah dijalankan.
Menurutnya, antara punca masalah yang dikenal pasti adalah apabila seorang kanak-kanak lambat didaftarkan dengan JPN selepas lahir atau dilahirkan ibu yang bukan warganegara asing tetapi belum berkahwin ketika bersalin.
Fatimah juga tidak menolak kemungkinan masih ada murid tidak berada dalam data APDM yang dibelenggu masalah sama dan kebarangkalian isu tersebut terus timbul pada masa depan.
“Selepas ini, pihak sekolah boleh mengatasi isu ini setelah mengenal pasti mereka menerusi APDM dan mengambil tindakan dengan kerjasama JPN,” katanya. – Sarawakiana
Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Tangani Masalah Dokumen Pengenalan
Reviewed by uMieySurianie
on
April 27, 2017
Rating:
No comments: