KUALA LUMPUR: Bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Dr Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu berkuat kuasa 1 September ini.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelantikan Awang Adek itu mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
"Saya percaya dengan pengalaman Awang Adek yang akan dapat memimpin MARA dalam melaksanakan dasar dan perancangan kementerian demi mencapai objektif Transformasi Negara," katanya mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan di sini.
Awang Adek, 62, adalah bekas Timbalan Menteri Kewangan (2006-2013) dan bekas Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2004-2006) selepas memenangi kerusi Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum 2004.
Pernah dilantik sebagai senator Dewan Negara pada 2009 hingga 2013, Awang Adek pernah bertugas sebagai Pensyarah Universiti Sains Malaysia pada 1983 hingga 1985 kemudian menyertai Bank Negara dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Gabenor.
Awang Adek kini adalah Ketua UMNO Bahagian Bachok.
Pelantikan Awang Adek itu menggantikan Tan Sri Annuar Musa yang tamat kontraknya pertengahan bulan ini. - BHOnline
Awang Adek Dilantik Pengerusi MARA
Reviewed by Azmin
on
August 15, 2017
Rating:
No comments: