Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan mereka bertanggungjawab atas kepincangan urusan penjualan tiket final bola sepak Sukan SEA sehingga mencetuskan kekecohan di Stadium Shah Alam semalam.
Setiausaha Agungnya Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya hanya membantu dari aspek teknikal perlawanan sahaja bagi acara bola sepak dan futsal di temasya dwi tahunan ini.
“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa semua urusan penjualan tiket bagi acara bola sepak dan futsal sepanjang temasya Sukan SEA 2017 ini termasuk bagi perlawanan akhir bola sepak lelaki malam ini adalah di bawah kelolaan Sekretariat Kuala Lumpur 2017 (MASOC) dan Kementerian Belia & Sukan (KBS) sepenuhnya, bukannya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mahupun Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP).
“Sebagai mewakili FAM, saya berasa kesal kerana terdapat segelintir pihak yang tetap mahu menyalahkan FAM apabila berlaku kekecohan dalam hal penjualan tiket perlawanan akhir ini sedangkan pihak kami hanya berperanan dalam urusan berkaitan teknikal perlawanan bagi acara bola sepak dan futsal sepanjang Sukan SEA 2017 ini,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook rasmi FAM hari ini.
Puluhan ribu penyokong tempatan sanggup beratur sepanjang lima kilometer seawal jam 6 pagi semata-mata ingin membeli tiket bagi menyaksikan final Malaysia dengan Thailand malam ini yang dijual di kaunter tiket di Stadium Shah Alam semalam.
Bagaimanapun kekecohan berlaku apabila ada segelintir penyokong yang merempuh dan memanjat kaunter tiket apabila penjualan tiket dihentikan jam 1 tengah hari.
Malah tindakan pihak penganjur yang tidak menjual tiket menerusi dalam talian juga menjadi punca rasa tidak puas hati ramai pihak.-myMetro
Jangan Salahkan FAM Urusan Jual Tiket
Reviewed by Unknown
on
August 29, 2017
Rating:
No comments: