MAKKAH: Puas dan berbaloi. Hanya itu yang dapat diungkapkan tatkala berjaya menjejakkan kaki ke Gua Hira’ yang cukup bersejarah di puncak Jabal Nur, awal pagi Rabu minggu lalu.
Sebelum itu, rombongan petugas media dan petugas Lembaga Tabung Haji (TH) diketuai Pengarah Operasi Media 1438 Hijrah Mohamad Naser Jaafar bertolak dari maktab penginapan kira-kira jam 2 pagi.
Sebaik tiba di kaki Jabal Nur, rombongan terus memulakan pendakian bukit berbatu setinggi 284 meter dari aras laut itu.
Jika dilihat dari segi ketinggian, bukit penuh bersejarah itu tidaklah terlalu tinggi untuk ditakluki namun ia tetap memberikan cabaran kepada rombongan pendaki.
Dengan laluan mendaki agak curam biarpun sudah tersedia anak tangga di sepanjang jalan menuju puncak, hanya keinginan untuk melihat dengan mata sendiri Gua Hira’ menjadi penguat semangat.
Akhirnya, selepas puas mendaki selama sejam, rombongan tiba di puncak Jabal Nur dan melihat sendiri lokasi Rasulullah SAW menerima wahyu pertama yang disampaikan malaikat Jibril.
Melihat keadaan laluan masuk menuju gua yang sempit dengan hanya muat dilalui seorang pendaki pada satu-satu masa, sukar dipercayai semua ahli rombongan tetap berjaya melepasinya.
Sebaik melihat sendiri gua penuh bersejarah itu, kepenatan dan keletihan yang dirasai sepanjang laluan mendaki terus hilang.
Ketika itu, yang terbayang hanyalah bagaimana seorang wanita seperti Saidatina Khadijah binti Khuwailid mampu berulang-alik dua kali sehari seperti yang diriwayatkan untuk menghantar makanan kepada Rasulullah yang beribadat di situ.
Selepas puas meninjau dan merakam foto kenangan di depan gua, rombongan berehat sementara menunggu masuknya waktu Subuh.
Istimewanya Gua Hira’ itu ia terletak betul-betul menghadap ke arah Kaabah di Masjidilharam.
Seusai menunaikan solat Subuh berjemaah di kawasan lapang di puncak bukit, rombongan bergerak turun bagi mengelak berdepan kepanasan jika terlewat.
Dari puncak Jabal Nur, kita boleh melihat panorama indah pemandangan sekitar kota Makkah yang dipenuhi cahaya lampu awal pagi termasuk daripada menara Masjidilharam.
Bagi mereka yang diberi kesempatan mengunjungi Kota Suci Makkah sama ada menunaikan haji atau umrah, cubalah cari masa dan ruang yang ada untuk mendaki Jabal Nur dan melihat sendiri Gua Hira’.
Petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) Mohd Asyraf Zakaria, 36, berkata, biarpun menjadi orang terakhir tiba, tetapi dia puas apabila tetap sampai dan dapat melihat sendiri gua yang mempunyai hubungan langsung dengan Rasulullah itu.
Menurutnya, pada peringkat awal pendakian, dia memang tidak yakin mampu tiba ke puncak, tetapi tidak henti berdoa.
“Alhamdulillah, saya akhirnya tiba di puncak Jabal Nur dan melihat Gua Hira’.
“Hanya semangat Siti Khadijah menjadi pendorong biarpun beberapa kali diserang semput ketika mendaki. Sedangkan orang buta dan kurang upaya pun boleh sampai, tak kan saya tidak boleh,” katanya.-myMetro
Jejak Kaki Ke Gua Hira'
Reviewed by Unknown
on
August 16, 2017
Rating:
No comments: