KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyita dua kapal nelayan Vietnam yang 'menyamar' sebagai kapal agensi itu untuk menceroboh perairan negeri ini.
Kedua-dua kapal berkenaan yang menggunakan nama KM Delo ditahan di kedudukan 185 batu nautika dari Tanjung Po ketika sedang menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda ganding dalam operasi Khamis lalu.
Pengarah APMM Sarawak, Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit berkata, ini kali pertama kapal nelayan asing dikesan mengguna pangkal nama 'KM' yang biasanya digunakan APMM bermaksud Kapal Maritim.
"Kita tidak pasti apa motif mereka meletakkan nama KM pada dua kapal itu tetapi percaya mungkin itu cubaan untuk menyamar.
"Tetapi jika menyamar, mereka silap kerana pihak berkuasa maritim Malaysia tidak menggunakan kapal seperti itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Daerah Maritim Kuching, Kepten Shahref Steve Mac Queen Abdullah.
Ismaili berkata, pemeriksaan di dalam kedua-dua kapal nelayan Vietnam itu menemui 10,000 kilogram ikan yang dipercayai dicuri di perairan negara.
Beliau berkata, semua nilai rampasan termasuk kapal dianggarkan bernilai RM10 juta.
"Seramai 22 nelayan berusia antara 16 hingga 45 tahun ditahan dan kes itu kini disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
"Jika sabit kesalahan bot serta peralatan menangkap ikan akan disita manakala tekong dan awak-awak masing-masing didenda tidak melebihi RM1 juta dan RM100,000 setiap seorang atau penjara," katanya.
Sejak akhir-akhir ini, pihak berkuasa Malaysia menahan beberapa kapal nelayan asing yang menyamar sebagai kapal tempatan untuk mengelakkan tindakan undang-undang.-BHOnline
Lagi kapal Vietnam guna nama tempatan ditahan
Reviewed by Unknown
on
August 14, 2017
Rating:
No comments: