KUALA LUMPUR: Lebih setengah juta pengunjung dijangka membanjiri Dataran Merdeka bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2017, Khamis ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, berkata raptai penuh yang berlangsung bermula jam 7 pagi ini berjalan lancar dan pihaknya sudah bersedia untuk menerima kunjungan ratusan ribu pengunjung pada hari sambutan.
"Semua orang dialu-alukan untuk hadir ke Dataran Merdeka bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2017 dan kita jangkakan lebih setengah juta orang akan membanjiri kawasan ini.
"Berdasarkan raptai hari ini, kita sudah bersedia untuk menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan dan ia dijangka lebih meriah berbanding tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui pada majlis raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2017, di sini, hari ini.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak.
Sebelum ini, BH melaporkan sambutan Hari Kebangsaan 2017 bakal menampilkan kelainan tersendiri dengan mengilhamkan konsep Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 di Dataran Merdeka.
Tinjauan BH di mendapati, landskap Dataran Merdeka sudah diubah suai menjadi seolah-olah Stadium Merdeka. Malah setiap susun atur kedudukan juga dibuat sama seperti di stadium termasuk pemasangan skrin gergasi yang diletakkan di sekeliling Dataran Merdeka sepanjang 200 meter.
Rekaan itu bagi mengembalikan nostalgia sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, tarikh keramat Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan menjadi negara berdaulat bebas daripada pentadbiran British. - BHonline
Merdeka: Lebih Setengah Juta Dijangka Hadiri Sambutan
Reviewed by uMieySurianie
on
August 29, 2017
Rating:
No comments: