KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2017 yang dipersembahkan hampir 18,000 peserta di Dataran Merdeka di sini, hari ini.
Raptai ketiga yang diadakan bermula jam 7 pagi hingga 11 pagi itu berlangsung dengan jayanya, tertumpu kepada gabungan persembahan padang dan perbarisan membabitkan peserta dalam kalangan murid dan pelajar sekolah dari Kuala Lumpur dan Selangor, kumpulan kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKNN) serta pasukan keselamatan.
Perdana Menteri berkata, latihan persembahan dipamerkan semua peserta itu sekali gus menunjukkan negara ini bersedia untuk menyambut Kemerdekaan ke-60 yang bakal berlangsung pada Khamis ini dengan meriah.
"Saya berpuas hati dengan persembahan hari ini dan saya lihat ia akan menyampaikan mesej kepada semua (rakyat) terhadap pencapaian negara sempena sambutan (kemerdekaan) 60 tahun ini.
"Teruskan raptai ini, mudah-mudahan Hari Kebangsaan nanti kita akan tunjukkan satu persembahan yang tidak dilupakan rakyat Malaysia," katanya berucap pada raptai penuh di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.
Pada raptai yang turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak itu, Najib turut mengambil bahagian dalam latihan berkenaan apabila melaungkan Merdeka sebanyak tujuh kali.
Pada ucapan beliau, Najib turut menyeru rakyat supaya menghargai jasa pemimpin lama dan individu yang terbabit dalam memperjuangkan kejayaan menerusi pembangunan negara sejak capai kemerdekaan pada 1957.
"Betapa besarnya cabaran yang terpaksa dihadapi kita selama 60 tahun. Bila lihat sambutan hari ini, kita dapat rasai bahawa apa yang kita sudah capai adalah satu kejayaan yang cemerlang.
"Kejayaan ini seharusnya disematkan dalam hati dan jiwa kita sebagai generasi penyambung dan diturunkan kepada generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk diteruskan pada masa depan," katanya sebelum beredar dari Dataran Merdeka.
Sementara itu, tinjauan BH Online turut mendapati kehadiran orang ramai memenuhi kawasan Dataran Merdeka untuk menyaksikan raptai persembahan terbabit. - BHonline
PM Puas Hati Raptai Penuh Hari Kebangsaan
Reviewed by uMieySurianie
on
August 29, 2017
Rating:
No comments: