Seo Services

Pyongyang Tangguh Serang Guam



PYONGYANG - KOREA UTARA. Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un menangguhkan rancangan 'serangan' peluru berpandu ke atas Guam, wilayah Amerika Syarikat (AS) di Pasifik selepas berdepan desakan negara antarabangsa.

Semalam, agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan Jong-un telah memaklumkan kepada komander tenteranya bahawa beliau akan mengambil langkah 'tunggu dan lihat' ke atas tindakan Washington.

"Keputusan itu dibuat selepas Jong-un diberi taklimat tentang pelan serangan ke atas Guam ketika beliau melakukan pemeriksaan di Pusat Perintah Angkatan Strategik yang bertanggungjawab ke atas unit peluru berpandu nuklear milik Pyongyang.

"Pemimpin terbabit menegaskan beliau akan sentiasa memantau tindakan bodoh AS, sebelum mengeluarkan sebarang arahan.

"Jika Washington melakukan tindakan melulu terhadap Semenanjung Korea, Pyongyang akan bertindak seperti dirancang sebelum ini," kata laporan itu.

Minggu lalu, Korea Utara mengesahkan ia telah memuktamadkan rancangan untuk melancarkan empat misil ke kawasan perairan berhampiran Guam pada pertengahan bulan ini.

Pelan kontroversi itu diumumkan selepas Presiden AS, Donald Trump mengancam dan memberi amaran keras terhadap Pyongyang hingga mencetuskan perang retorik antara kedua-dua negara tersebut.

Ketika ini, pemimpin dunia terus mendesak kedua-dua pihak supaya bertenang dan menamatkan pertikaian itu secara aman.

Tindakan ketenteraan perlu persetujuan Seoul

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berikrar kerajaan beliau akan menggunakan seluruh kuasa untuk mengelakkan peperangan tercetus di Semenanjung Korea.

"Tindakan ketenteraan ke atas wilayah ini hanya boleh diputuskan oleh Seoul. Tiada pihak lain boleh membuat keputusan tersebut tanpa persetujuan kami.

"Korea Selatan akan menggunakan pelbagai cara untuk menghalang peperangan ini daripada berlaku," katanya menerusi stesen TV.

Jae-in turut menggesa Pyongyang dan Washington supaya berhenti mengancam satu sama lain dan mencari penyelesaian politik.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe memberitahu, beliau dan Trump mencapai persetujuan ketika perbualan telefon bahawa keutamaan mereka untuk melakukan apa sahaja bagi menghalang rancangan serangan Korea Utara tersebut.

Guam gembira, penilaian ancaman terus beroperasi

Gabenor Guam dalam satu kenyataan memaklumkan, tiada perubahan terhadap ancaman ke atas pulau itu walaupun Pyongyang menangguhkan rancangan serangan mereka.

"Kami berasa gembira kerana Jong-un telah menilai semula pelan tersebut dan membuat penangguhan buat masa ini. Bagaimanapun, kami tetap mengambil langkah berjaga-jaga dan penilaian ancaman tetap beroperasi seperti biasa," kata Ray Tenorio ketika sidang media di kompleks kerajaan.

Ketika ditanya tentang kebolehpercayaan laporan KCNA terbabit, Tenario berkata, mereka mengambil maklumat daripada pelbagai sumber media untuk menilai kesahihan perkara tersebut.

Sejurus pengumuman penangguhan serangan itu dibuat, penduduk di pulau terbabit dilaporkan menjalani aktiviti harian mereka seperti biasa malah pelancong juga dilihat bersantai di Teluk Tumon dan kawasan beli belah utama di Guam.

Pada 2013, Guam yang menempatkan dua pemasangan tentera dan 6,000 anggota askar AS itu juga pernah berdepan ancaman serangan sama dari Korea Utara.

China henti import barangan Korea Utara

Kerajaan China mengumumkan ia menghentikan import besi, bijih besi dan makanan laut dari Korea Utara selepas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenakan sekatan ekonomi terbaharu di bawah Resolusi 2371 sebagai respons terhadap ujian pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) pada bulan lalu.

Keputusan itu, diumumkan kelmarin beberapa hari selepas perang retorik antara Trump dan rejim Jong-un semakin meningkat sehingga mencetuskan kebimbangan antarabangsa tentang hala tuju krisis tersebut.

Kementerian Perdagangan menerusi laman web memaklumkan, larangan import tersebut berkuatkuasa semalam dan ia dijangka menyebabkan kos kerugian kira-kira AS$1 bilion (RM4.2 bilion) setahun.

Beijing yang menyumbang 90 peratus perdagangan Pyongyang turut menggantung import arang batu dari negara itu pada Februari lalu.

Difahamkan, China akan mula 'membersihkan' barangan dari Korea Utara yang telah tiba di pelabuhan sehingga 5 September depan. - Agensi
Pyongyang Tangguh Serang Guam Pyongyang Tangguh Serang Guam Reviewed by uMieySurianie on August 16, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.