JOHOR BAHRU: Istiadat Persandingan Puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan Dennis Muhammad Abdullah berlangsung dalam suasana meriah di Istana Besar di sini malam ini.
Pasangan pengantin Diraja itu berangkat meninggalkan Istana Bukit Serene ke Istana Besar menaiki kereta vintaj Mercedes Limousine Covertible diiringi pengiring bermotosikal dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga anggota Askar Timbalan Setia Negeri.
Mereka tiba di Istana Besar pukul 8.35 malam disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar sebelum memulakan Istiadat Persandingan Diraja yang dihadiri 1,200 tetamu kenamaan.
Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan malam ini memberitahu, istiadat tersebut bermula dengan keberangkatan masuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan isteri, Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Menurut kenyataan itu, diikuti dengan keberangkatan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha; Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri, Tunku Azizah Almarhum Sultan Iskandar.
"Berangkat sama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.
"Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan
Perdana Menteri Singapura, Teoh Chee Hean dan isteri," demikian menurut kenyataan itu.
Jelas kenyataan tersebut, Tun Aminah, 31, dan Dennis Muhammad, 28, yang mengenakan busana tradisional Johor dengan Baju Kurung dan Baju Melayu Teluk Belanga serba putih kemudian masuk ke Bilik Singgahsana Istana Besar untuk istiadat itu.
"Sebelum memulakan istiadat merenjis dan tepung tawar, Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsudin membacakan doa. Istiadat merenjis dan tepung tawar dimulakan oleh Sultan Brunei, diikuti isterinya; Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah; dan ibu bapa Dennis Muhammad, Martin dan Henriette Verbaas," jelas kenyataan itu lagi.
Istiadat Persandingan Diraja itu berlangsung dengan penuh tradisi dan adat istiadat budaya Diraja Johor.- UTUSAN ONLINE
Sultan Brunei, PM, TPM Hadir Persandingan Tun Aminah
Reviewed by uMieySurianie
on
August 15, 2017
Rating:
No comments: