DENVER (AMERIKA SYARIKAT): Penyanyi terkenal antarabangsa, Taylor Swift kelmarin menang dalam samannya terhadap personaliti radio Colorado selepas juri mendapati bekas DJ itu bersalah kerana meraba punggungnya ketika mereka bergambar dan memberikan ‘pampasan’ simbolik AS$1 (RM4.30) yang dituntut bintang pop itu.
Taylor, 27, menangis dan memeluk ibunya sebaik keputusan dibacakan di Mahkamah Daerah Denver itu dan mengucapkan terima kasih kepada panel juri ketika mereka meninggalkan dewan perbicaraan.
Juri yang mengadakan perbincangan kurang dari empat jam susulan perbicaraan sensasi itu turut menolak dakwaan personaliti radio, David Mueller bahawa ibu Taylor dan pegawai perhubungan stesen radio itu menyebabkannya dipecat dengan membuat tuduhan palsu.
“Saya akui bernasib baik dari segi kehidupan, status dan keupayaan untuk menanggung kos bagi mempertahankan diri dalam perbicaraan seperti ini.
“Saya berharap dapat membantu mereka yang turut melalui pengalaman sama,” katanya kepada media selepas prosiding.
Menurutnya, dia akan terus menyumbangkan wang kepada organisasi yang membantu mangsa serangan seksual mempertahankan diri mereka di mahkamah.
Mueller, 55, tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika keputusan itu dibacakan.
Dia menyaman Taylor selepas dipecat susulan penyanyi berkenaan membuat aduan kepada radio stesen itu mengenai kejadian berkenaan.
Namun Taylor tidak berganjak sepanjang perbicaraan dan menegaskan Mueller sengaja menyeluk skirt dipakainya untuk meraba punggungnya.
Peguamnya, Douglas Baldridge berkata, Taylor hanya menuntut ganti rugi AS$1 kerana dia tiada niat untuk membuat Mueller muflis, tetapi mahu memastikan mesej tegas disampaikan untuk mangsa serangan seksual lain yang mungkin terlalu takut untuk bersuara.-Reuters
Taylor Swift Menang Saman RM4.30
Reviewed by Unknown
on
August 16, 2017
Rating:
No comments: