KOTA KINABALU: Kira-kira 5,000 landak laut dikutip di sekitar jeti Pusat Kecemerlangan Perahu Layar, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, di sini, sempena Program Jiwa Murni Mega Dive pangkalan berkenaan, hari ini.
Seramai lapan penyelam TLDM dibantu masyarakat nelayan dari Kampung Gentisan, di sini, menyertai program sehari itu bertujuan membersihkan kawasan dasar laut jeti berkenaan daripada masalah sampah dan kehadiran landak laut.
Panglima Logistik Timur TLDM, Laksamana Pertama Ir Ow Kiat Bin, berkata kehadiran landak laut yang banyak di perairan Pusat Kecemerlangan Perahu Layar, TLDM menjejaskan pertumbuhan batu karang, selain keselamatan orang ramai.
"Landak laut dikutip kerana ia boleh memusnahkan batu karang selain untuk membersihkan perairan daripada bahaya kepada orang yang berenang atau berkelah kerana durinya boleh membahayakan keselamatan.
Landak laut yang dikutip di sekitar jeti pada program Jiwa Murni 'Mega Dive' di Pusat Kecemerlangan Perahu Layar, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar. - Foto NSTP/Malai Rosmah Tuah.
"Selepas dikutip, hidupan itu diserahkan kepada nelayan masyarakat Bajau dari Kampung Gentisan untuk dijadikan hidangan. Ini secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan TLDM dengan masyarakat setempat," katanya kepada media selepas pelancaran program berkenaan.
Kiat Bin berkata, pembabitan penduduk kampung dalam program itu juga sejajar usaha meningkatkan kesedaran masyarakat nelayan khususnya yang tinggal di penempatan atas air supaya tidak membuang sampah di laut.
Dalam pada itu, beliau berkata, tiga tukun yang ditanam dengan anak terumbu karang atau nubbins turut dipasang di sekitar perairan Pusat Kecemerlangan Perahu Layar TLDM bagi membiakkan terumbu karang di kawasan berkenaan.
Sementara itu, kira-kira 300 peserta termasuk penduduk Kampung Gentisan, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Laut, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai program sehari itu. - BH Online
5,000 Landak Laut Dikutip Di Teluk Sepanggar
Reviewed by uMieySurianie
on
September 28, 2017
Rating:

No comments: