GEORGETOWN: Enam anggota polis yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, kerana disyaki meminta suapan daripada suspek kes jenayah, dibebaskan malam tadi.
Suspek berpangkat Lans Koperal hingga Sarjan yang berusia antara 28 hingga 49 tahun, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, dibebaskan kira-kira jam 9 malam, dengan jaminan SPRM.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abd Aziz Aban, mengesahkan kesemua suspek dibebaskan selepas memberi keterangan.
"Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 kerana kesalahan meminta rasuah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, SPRM menahan enam anggota terbabit kira-kira jam 2 pagi, kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah.
Mereka disyaki menerima rasuah RM4,500 selepas dikatakan meminta RM8,000 daripada dua suspek yang memiliki empat bungkusan plastik mengandungi cecair dipercayai air ketum.
Selain itu, SPRM turut menahan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang disyaki memainkan peranan sebagai orang tengah dalam urusan berkaitan rasuah itu ketika serbuan di sebuah rumah di Paya Terubong, di sini.-BH
6 polis minta rasuah dibebaskan
Reviewed by Unknown
on
September 09, 2017
Rating:

No comments: