PARIS: Kylian Mbappe memainkan peranan penting dalam penampilan sulungnya di Parc des Princes buat Paris Saint-Germain (PSG) ketika pasukannya menewaskan Lyon 2-0 semalam dengan kedua-dua gol dijaringkan sendiri oleh pasukan pelawat.
Barisan muda Lyon ternyata mampu menandingi pasukan mewah, PSG yang terpaksa menanti hingga suku terakhir sebelum pertahanan Lyon, Marcelo tertampan bola masuk ke pintu golnya sendiri.
Kemudian empat minit sebelum tamat Mbappe meluru menyambut hantaran Neymar dan percubaannya dari jarak dekat ditampan masuk Jeremy Morel bagi menamatkan aksi menarik itu.
Kemenangan keenam berturut-turut liga membantu pasukan kendalian Unai Emery tiga mata di tangga teratas di depan juara bertahan, AS Monaco yang meneruskan saingan memburu kejuaraan dengan kemenangan 3-0 ke atas Strasbourg 24 jam terdahulu.
Kunjungan Lyon di atas kertas dilihat sebagai ujian paling getir buat PSG dalam Ligue 1 setakat ini musim ini dan ia ternyata tepat.
Di sebalik mempunyai gandingan serangan bernilai 466 juta euro (RM2.3 bilion) dengan kehadiran Neymar, Edinson Cavani dan Mbappe, juara tujuh kali Lyon mampu memberikan saingan sengit sekalipun gagal meraih tiga mata.
Lyon tewas buat kali pertama musim ini, meninggalkan Parc des Princes dengan kedudukan di tangga kelima, lapan mata di belakang pendahulu.
Jurulatih Lyon, Bruno Genesio berkata: "Saya tidak fikir ada kelab di Perancis yang mampu bersaing dengan PSG untuk memburu kejuaraan, tapi bagi satu perlawanan, ya."
Terdahulu, Mario Balotelli meledak 10 minit sebelum tamat membantu Nice menang 1-0 di Rennes, manakala Marseille keluar daripada kemerosotan awal musim apabila dua gol Clinton Njie membantu kelab selatan itu menang 2-0 di Amiens. - AFP
Sentuhan Mbappe Bantu PSG Jinak Lyon
Reviewed by Azmin
on
September 18, 2017
Rating:

No comments: