Seo Services

Facebook Nafi Zuckerberg Bakal Lawat Thailand



BANGKOK: Gergasi media sosial, Facebook menafikan laporan media bahawa pengasasnya Mark Zuckerberg merancang untuk melawat Thailand hujung bulan ini dan bertemu Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha.

Penafian itu dibuat selepas pengumuman oleh Prayut pada Selasa mengenai pertemuannya dengan Zuckerberg pada 30 Oktober yang mana mereka akan berbincang pelbagai isu termasuk jenayah transnasional.

“Tiada perancangan buat masa ini untuk mana-mana pemimpin kanan melawat Thailand,” menurut media tempatan hari ini yang memetik kenyataan oleh jurucakap Facebook yang dibuat pada Khamis.

Kerajaan masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai penafian Facebook itu.

Perdana menteri pada Selasa berkata Zuckerberg akan ke Thailand untuk urusan perniagaan dan memohon satu pertemuan diadakan dengan beliau untuk membincangkan kerjasama dalam menghalang dan menyelesaikan masalah berkaitan jenayah transnasional.

Menurut Prayut, pertemuan itu akan membolehkan kedua-dua mereka bertukar pendapat.

Timbalannya Somkid Jatusripitak juga dipetik oleh media tempatan sebagai berkata bahawa pengasas media sosial itu akan turut membincangkan perluasan perniagaan Facebook di Asean semasa pertemuan dengan perdana menteri Thailand nanti.

Ia merupakan peluang yang bagus untuk Thailand, katanya, menambah banyak operator dalam talian termasuk dari Amerika Syarikat dan China turut mengintai peluang di Asean.

Sementara itu, media tempatan membuat spekulasi bahawa perdana menteri akan meminta Zuckerberg untuk menyekat catatan dan video yang dianggap sebagai melanggar Seksyen 112 Kod Jenayah Thailand, dikenali sebagai undang-undang Lese Majeste.

Menurut media tempatan lagi, lawatan terakhir Zuckerberg ke Thailand adalah tujuh tahun lepas atas urusan peribadi untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya.- Bernama


Facebook Nafi Zuckerberg Bakal Lawat Thailand Facebook Nafi Zuckerberg Bakal Lawat Thailand Reviewed by uMieySurianie on October 20, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.