PARIS: Jaringan lewat Olivier Giroud membolehkan Arsenal meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam kempen Liga Europa dengan menundukkan Red Star Belgrade yang beraksi 10 pemain 1-0 di Serbia, awal pagi tadi.
Anak buah Arsene Wenger itu gagal memperagakan permainan yang bertenaga sebelum Giroud meledak gol kemenangan pada minit ke-85 selepas pemain Belgrade, Milan Rodic dibuang padang.
“Semalam, saya menyatakan bahawa tiada siapa yang akan mempersoalkan karakter kami dan kami membuktikannya pada aksi hari ini,” kata pemain tengah The Gunners, Jack Wilshere.
“Kami tahu sukar berkunjung ke sini dan saya rasa mereka belum tewas lagi di laman sendiri pada musim ini. Sebelum perlawanan lagi kami sedar bahawa aksi ini akan menjadi sengit.
“Ketika rehat separuh masa, bos menyatakan ‘main saja seperti biasa kerana banyak ruang yang dibuka’ dan mereka berjaya melakukannya.”
Pada aksi terbabit, Theo Walcott beroleh peluang pertama untuk membuka jaringan namun diselamatkan penjaga gol, Milan Borjan menggunakan kaki.
Arsenal yang menurunkan pertahanan kurang berpengalaman hampir dibolosi apabila tandukan Richmond Boakye yang tidak dikawal singgah di palang pada minit ke-26.
Namun, pelawat memperoleh peluang keemasan apabila pertahanan tuan rumah, Rodic dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-80.
Kesempatan itu sekali gus digunakan oleh Giroud yang melakukan sepakan gunting untuk gol tunggal perlawanan ketika saingan berbaki lima minit lagi.-AFP
Gol Giroud Julang Gunners
Reviewed by Unknown
on
October 20, 2017
Rating:
No comments: