Seo Services

Remaja Ditetak Gara-gara Tegur Pasang Muzik Kuat


PASIR GUDANG: Gara-gara menegur dua lelaki memasang muzik kuat daripada pembesar suara kereta, seorang remaja parah di bahagian belakang dan kepala akibat ditetak dalam kejadian, di Flat Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Jokhiri Abd Aziz, berkata kejadian berlaku pada jam 2.05 pagi apabila mangsa berusia 17 tahun diserang kira-kira 15 lelaki di kawasan perumahan itu.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa menegur dan menasihati dua suspek memasang lagu dan muzik dengan kuat menggunakan pembesar suara kereta mereka yang di parkir di kawasan flat.

"Teguran itu menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergaduhan kecil sebelum sekumpulan suspek lain iaitu rakan kepada dua suspek yang awal datang menaiki sebuah kereta dan beberapa motosikal.

"Sekumpulan lelaki kira-kira 15 orang mengerumuni mangsa. Beberapa suspek membawa parang dan pisau menyerang mangsa menyebabkan kecederaan parah di bahagian belakang badan dan kepala," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Jokhiri berkata, semua suspek dipercayai bukan penghuni di kawasan flat berkenaan.

"Mangsa yang cedera parah dihantar dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dirawat di wad dan kini di bawah pengawasan rapi pihak hospital.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh dengan senjata) dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan (mendatangkan cedera parah dengan senjata)," katanya.

Katanya, sehingga ini belum ada tangkapan dan pihak polis sedang giat memburu suspek.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya. - BH
Remaja Ditetak Gara-gara Tegur Pasang Muzik Kuat Remaja Ditetak Gara-gara Tegur Pasang Muzik Kuat Reviewed by Unknown on October 20, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.