LIVERPOOL: Everton berisiko berdepan tindakan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas penyokongnya yang sedang mendukung kanak-kanak dilihat ‘menumbuk’ pemain Lyon pada aksi Liga Europa di Goodison Park, awal pagi tadi.
Kelab Perancis itu memenangi aksi terbabit 2-1 namun perlawanan dicemari dengan pergaduhan besar-besaran pada babak kedua yang menyaksikan kapten Everton, Ashley Williams menolak penjaga gol lawan, Anthony Lopes.
Ketika kekecohan itu berlaku, seorang penyokong Everton dilihat menumbuk Lopes dengan sebelah tangan sementara sebelah lagi tangannya memegang seorang kanak-kanak.
“Ada penyokong yang menumbuknya (Lopes), jadi saya fikir itu bukanlah satu perkara yang normal,” kata penyerang Lyon, Bertrand Traore yang meledak gol kemenangan pada aksi itu.
“Pada saat itu, kita perlu menolong satu sama lain sebagai satu pasukan. Itu yang cuba saya lakukan,” kata pemain Burkina Faso itu.
Penyokong juga didapati cuba untuk menyerang pertahanan Lyon, Mouctar Diakhaby.
Sementara itu, bos Everton, Ronald Koeman cuba untuk tidak memperbesarkan insiden terbabit.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Ia bermula dengan Ashley dan pertahanan Lyon. Ramai pemain yang terbabit dengan insiden itu.”
Williams terselamat daripada dilayangkan kad merah akibat insiden itu sebelum dia meledak gol penyamaan buat pasukannya itu.
“Itu (insiden) perkara biasa dalam bola sepak,” kata Williams.
“Perlawanan itu begitu beremosi. Kami mahu menang dan mereka juga begitu jadi perkara sebegitu sudah pasti akan berlaku.”-AFP
Sebelah Tangan Dukung Anak, Sebelah Lagi 'Beduk' Lyon
Reviewed by Unknown
on
October 20, 2017
Rating:
No comments: