KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 wanita kurang berkemampuan yang menghidap penyakit barah payudara bakal menikmati subsidi 90 peratus ubagi kos rawatan kemoterapi.
Justeru, Hospital Beacon memperuntukkan RM2 juta kos rawatan berkenaan.
Pengarah Perubatan dan Onkologi Klinikalnya, Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Wahid, berkata peruntukan ini dilaksanakan menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang menghadapi masalah kewangan.
Katanya, kos rawatan sesi kemoterapi boleh mencecah kira-kira RM6,000 dan membebankan kepada penghidap kanser payudara.
"Hospital Beacon akan menawarkan subsidi 90 peratus dan selebihnya kira-kira RM500 bayaran perlu ditanggung sendiri oleh pesakit berkenaan.
"Dianggarkan rawatan keseluruhan kemoterapi boleh mencecah kira-kira RM40,000. Ini peranan kami membantu mengurangkan beban pesakit," katanya ditemui selepas pelancaran majlis tabung kebajikan RM2 juta untuk Rawatan Kemoterapi Kanser Payudara, di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Mariam Mas Yaacob; Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Beacon, Victor Chia dan Pengarah Eksekutifnya, Mary Chen.
Program CSR dijalankan sejak 2011 dan sudah membelanjakan kira-kira RM8 juta bagi tujuan berkenaan.
Katanya, program ini untuk wanita yang berpendapatan isi rumah bawah RM5,000.
Wanita boleh mendapatkan maklumat bagaimana cara menyertainya di laman web Hospital Beacon.
Sementara itu, Rohani berkata program dianjurkan ini sangat diperlukan masyarakat memandangkan kos rawatannya tinggi.
Katanya, Hospital Beacon memang sudah dikenali dengan kepakarannya, jadi ini adalah antara sumbangan ikhlas dalam membantu golongan memerlukan serta mendapatkan rawatan terbaik.
"Jangan anggap RM500 tambahan bayaran itu sebagai bebanan sehingga menidakkan untuk mendapat rawatan.
"Mana tahu kita boleh menjalankan kerjasama membantu pesakit yang benar-benar memerlukan ini di seluruh negara khususnya wanita di luar bandar," katanya. - BHOnline
Penghidap Kanser Payudara Dapat Subsidi Kemoterapi
Reviewed by Azmin
on
October 24, 2017
Rating:
No comments: