Polis berjaya menumpaskan kumpulan 'Boy Alza' yang aktif melakukan jenayah samun dan pecah rumah di Besut dengan tertangkapnya tujuh ahli kumpulan itu di tiga lokasi berasingan pada Khamis, Jumaat dan semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu Asisten Komisioner Fazlisyam Abdul Majid berkata, kumpulan yang dipercayai didalangi suspek berusia 26 tahun itu turut dianggotai tiga remaja berusia antara 17 hingga 18 tahun.
"Menerusi tangkapan pertama pada 12 Oktober, kita memberkas dua ahli kumpulan berusia 17 dan 29 tahun di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut kira-kira 4 petang bersama Perodua Alza yang dicuri.
“Kereta itu pernah digunakan dalam satu kes samun di sebuah bank di daerah ini bulan lalu.
"Pada 13 Oktober, kita menahan empat lagi ahli termasuk ketua kumpulan pada 6.20 petang di Kampung Bukit Payung, Besut dan selepas itu, seorang lagi remaja ditahan sekitar 3.30 pagi semalam di Kampung Alor Lintang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, hari ini.
Katanya, kumpulan terbabit menggunakan modus operandi menyembur muka mangsa menggunakan penyembur nyamuk setiap kali melakukan jenayah.
"Suspek memakai topeng ketika melakukan jenayah dan selepas memasuki rumah mangsa, mereka menggunakan penyembur nyamuk untuk menyembur muka mangsa," katanya.
Beliau berkata, polis sedang memburu dua lagi ahli kumpulan terbabit yang berusia 26 dan 35 tahun.
Menurutnya, susulan penangkapan itu, pihaknya juga merampas sembilan telefon bimbit, kad pengenalan dan kad pengeluaran wang automatik milik mangsa yang disamun.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Dengan tertangkapnya tujuh suspek ini, sekurang-kurangnya tujuh kes jenayah di Besut dapat diselesaikan," katanya.-myMetro
Sembur Muka Mangsa Guna Penyembur Nyamuk Sebelum Samun
Reviewed by Unknown
on
October 16, 2017
Rating:

No comments: