Bekas jeneral tentera Croatia ketika perang Bosnia yang menelan bahan dipercayai racun selepas Tribunal Jenayah Antarabangsa untuk Yugoslavia di The Hague mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadapnya semalam, disahkan meninggal dunia malam tadi.
Reuters melaporkan jurucakap mahkamah, Nedad Golcevski, mengesahkan Slobodan Praljak yang dikejarkan ke hospital berdekatan, meninggal dunia.
Menurut AFP, selepas mahkamah mengekalkan hukuman itu, Praljak, 72, yang mengemukakan rayuan didengar menjerit: “Praljak bukan penjenayah! Saya tolak keputusan kamu!”
Dia kemudian membuka botol kecil dan menelan kandungannya dengan setiap perbuatan direkodkan kamera yang merakam prosiding.
Kejadian mengejutkan itu berlaku selepas hakim turut mengekalkan hukuman penjara 25 tahun terhadap bekas perdana menteri Republik Croatia Herzeg-Bosnia (yang tidak diiktiraf) Jadranko Prlic ketika perang Balkan pada 1990-an.
Prosiding ditangguhkan sebaik peguam Praljak menjerit: “Anak guam saya berkata dia menelan racun!”
Praljak didakwa mengarahkan kemusnahan jambatan era Uthmaniah kurun ke-16 di Mostar pada November 1993 yang menjadi simbol kemusnahan Bosnia. Bandar itu juga lokasi pertempuran paling teruk membabitkan orang Islam Croatia dengan hampir 80 peratus musnah dalam perang.
Praljak mengetuai tentera Croatia Bosnia dikenali sebagai HVO antara Julai hingga November 1993.-Agensi
Minum Racun Di Mahkamah Selepas Dihukum 20 Tahun Penjara
Reviewed by Unknown
on
November 30, 2017
Rating:
No comments: