NEW YORK – Majlis Keselamatan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) bertindak menyekat empat buah kapal Korea Utara yang sedang dalam perjalanan ke pelabuhan antarabangsa kerana disyaki membawa barangan terlarang.
Seorang diplomat yang tidak mahu dikenali memberitahu agensi berita AFP, keempat-empat kapal tersebut dikatakan mengangkut barang dilarang oleh sekatan antarabangsa.
Menurut diplomat tersebut, larangan tersebut membabitkan kapal Ul Ji Bong 6, Rung Ra 2, Sam Jong 2 dan Rye Song Gang 1, menjadikan jumlah kapal yang disekat PBB setakat ini lapan.
“Amerika Syarikat (AS) telah memohon langkah pengharaman terbaru itu membabitkan kapal yang didaftarkan di negara lain,” katanya kepada AFP ketika dihubungi.
Bagaimanapun, China hanya bersetuju untuk menyasarkan empat kapal milik Korea Utara itu, kata diplomat sebagai sebahagian usaha pihak antarabangsa untuk mengekang program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.
Senarai larangan berkenaan dihantar oleh AS pada bulan ini, termasuk kapal dari Belize, China, Hong Kong, Palau serta Panama.
Sebelum itu, PBB pada tahun lepas telah mengenakan sekatan terhadap setiap negara yang menjalin hubungan perdagangan dengan Korea Utara diarah supaya membuat pemeriksaan terhadap kargo yang datang dari atau ke Korea Utara, sama ada melalui pelabuhan ataupun lapangan terbang.
Arahan itu merupakan sekatan dan hukuman berat pernah dikenakan PBB terhadap Pyongyang dalam tempoh dua dekad, berikutan tindakan Korea Utara melancarkan ujian nuklear dan ujian peluru berpandu.
Majlis itu turut menyekat eksport arang batu, besi dan bijih besi serta pelbagai bahan mineral lain dari Korea Utara serta melarang penghantaran minyak kapal terbang termasuk minyak roket ke negara tersebut.- Agensi
Kapal Korea Utara Dikenakan Sekatan Lagi
Reviewed by Unknown
on
December 29, 2017
Rating:
No comments: