KUALA LUMPUR: Sinar Harian menafikan mengeluarkan sebarang berita yang mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bakal dipenjarakan sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Akhbar itu berkata berita yang tular di media sosial itu memaparkan gambar Najib beserta kenyataan ‘Andai saya (Najib) kalah, saya pasti mengikut jejak Anwar Ibrahim dan mungkin akan mati dalam penjara’.
Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang menjalani hukuman selama lima tahun atas tuduhan liwat.
Ketua Pengarang Sinar Harian Norden Mohamed berkata, penyiaran berita palsu berkenaan berniat jahat dengan mengaitkan akhbar itu.
“Gaya penulisan yang terpapar itu tidak mengikut gaya penulisan (house style) Sinar Harian.
“Kandungan berita itu tidak mengandungi dateline (tempat), tarikh berita ditulis dan tiada ‘watermark’ (cop) Sinar Harian pada foto yang tersiar,” katanya kepada Sinar Online.
Menurut Sinar Harian, masthead akhbar itu kerap digunakan sebagai penghias berita-berita palsu yang kemudiannya ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sebelum ini, kedua-dua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang menjadi mangsa penyebaran berita palsu.
Pada 3 Januari, Najib melancarkan portal rasmi BN dalam berhadapan dengan PRU14, yang antara lain untuk menangani penyebaran berita palsu mengenai gabungan itu.-MalaysiaKini
Berita ‘Najib Bakal Dipenjarakan’ Palsu - Sinar
Reviewed by Unknown
on
January 12, 2018
Rating:
No comments: