Seo Services

Masing Patut Bersuara Dalam Persidangan, Bukan Dalam Media

KUCHING: Perbezaan pendapat dan fakta harus dibahaskan dalam persidangan dan bukan melalui akhbar mahupun media, kata Datu Sanib Said merujuk kenyataan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing yang disiarkan menerusi beberapa akhbar tempatan.

Sanib merupakan sejarawan ulung Negeri Sarawak berkata, menjadi satu kemestian ketika persidangan berlangsung, segala kemusykilan atau perbezaan pendapat hendaklah dibahas ketika itu juga serta dapat dibincang bersama-sama.

"Tidak sesuai bagi seorang yang begitu memahami dan hadir di tempat sama tapi tidak berbahas pada masa itu sedangkan persidangan tersebut merupakan medium yang betul bagi menyuarakan apa yang tidak memuaskan hati.

"Meluahkan perkara tersebut di akhbar adalah tidak beretika bagi peserta persidangan.

"Oleh kerana saya membentang kertas saya dalam persidangan, saya terbuka untuk sesiapa sahaja untuk berbahas tanpa mengira sesiapa," katanya.

Jelas Sanib, tujuan persidangan dan pembentangan kertas kerja adalah untuk dibahaskan. Perbezaan pendapat dan fakta dibangkitkan atau dibantah untuk direkodkan dan bukan didesak untuk ditukarkan.

"Terpulang kepada peserta untuk menilai dan membuat keputusan masing-masing.

"Dalam wacana intelektual, sudah semestinya terdapat perbezaaan dan pandangan baru dan ia sangat digalakkan dan tidak perlu ditekan. Pulau Menoa dan Pulau Galau (PMPG) merupakan gagasan baharu yang telah disarankan oleh Ketua Menteri untuk dibahas dan bincang," ujarnya.

Terdahulu, Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak berkata, Sejarawan itu gagal memahami sejarah tanah kontroversi Native Customary Right (NCR) dengan menegaskan bahawa tanah itu diperolehi oleh nenek moyang Dayak melalui "darah, peluh dan air mata" dan tidak diberikan oleh kerajaan seperti seperti yang dibentangkan, lapor The Borneo Post.

Masing dipetik sebagai berkata, tafsiran yang dibuat mengenai PMPG adalah mengelirukan dan boleh menimbulkan permusuhan antara orang-orang Dayak dan orang Melayu.

Menurut Masing, PMPG adalah singkatan dari istilah "pemakai menoa" dan "pulau galau", yang merujuk kepada domain teritorial dan rizab hutan komunal masing-masing. Di bawah adat Dayak, kedua-duanya dianggap sebahagian daripada tanah NCR.

"Sebagai ahli sejarah, dia harus tahu fakta-faktanya dengan baik. Oleh itu, kami berharap beliau akan membetulkan kesalahfahamannya mengenai isu tanah NCR Dayak," tambah Masing.

Kerajaan negeri menganjurkan Persidangan Ketua-Ketua Masyarakat Bumiputera Sarawak mengenai Pemakai Menua dan Pulau Galau pada 24 hingga 25 Januari lalu bagi mencari definisi tepat yang  dipersetujui semua kaum Bumiputera mengenai hak tanah tersebut.

Persidangan selama dua hari itu dihadiri seramai 450 peserta terdiri daripada ketua masyarakat daripada komuniti Iban, Melayu, Orang Ulu, Bidayuh, Melanau dan etnik lain. – Sarawakiana
Masing Patut Bersuara Dalam Persidangan, Bukan Dalam Media Masing Patut Bersuara Dalam Persidangan, Bukan Dalam Media Reviewed by Admin on January 31, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.