Seo Services

Mayat Pendaki Tiba Di Kaki Gunung



HULU LANGAT: Jasad pendaki yang terjatuh ketika memanjat Gunung Nuang, Hulu Langat, di sini, Sabtu lalu, berjaya dibawa ke kaki gunung itu selepas hampir 40 jam operasi menyelamat dilancarkan.

Mayat Azlan Yahya, 47, tiba di kaki gunung itu pada jam 6.05 pagi, dengan disambut oleh ahli keluarga terdekat sebelum dibawa menaiki kenderaan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke Hospital Serdang.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kemensah, Hulu Kelang, sebaik dituntut ahli keluarga.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pasukan penyelamat berdepan cabaran membawa turun mangsa berikutan keadaan laluan yang licin dan curam antara 80 hingga 90 darjah, selain hutan tebal.

Katanya, cuaca hujan sejak beberapa hari lalu menambahkan lagi kesukaran apabila laluan menjadi berair menyebabkan pergerakan mereka terhad, selain keadaan fizikal anggota itu sendiri yang keletihan berikutan sudah mula bertugas sejak operasi dimulakan pada Sabtu lalu.

Keadaan fizikal mangsa yang dikatakan lebih 100 kilogram turut menguji kecekalan semua yang terbabit dalam operasi itu, namun berbekalkan semangat kental, mangsa berjaya dibawa turun ke kaki gunung.

Difahamkan, bantuan helikopter tidak dapat diluluskan untuk mengambil mangsa dari puncak gunung berkenaan atas faktor cuaca.

"Pasukan penyelamat tiba di lokasi mangsa terjatuh pada jam 7.30 pagi semalam dan usaha membawa turun dari Kem Pengasih ke Kem Pacat bermula pada jam 2 petang dan tiba di sana pada jam 6.30 petang.

"Pada jam 4 pagi tadi, pasukan tiba di Kem Lolo dan mangsa seterusnya dibawa menaiki pacuan empat roda ke kaki gunung dan tiba pada jam 6.05 pagi," katanya yang turut memaklumkan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.35 pagi tadi.

Terdahulu, mangsa dikatakan memanjat gunung itu bersama beberapa orang rakannya dan ketika kejadian, mereka dalam perjalanan turun selepas bermalam di puncak yang berketinggian 1,498 meter sejak Jumaat lalu.

Bagaimanapun, ketika melalui satu laluan curam, mangsa dikatakan tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung kira-kira 100 meter dari puncak gunung itu sebelum ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kecederaan di kepala oleh rakannya.

Polis yang menerima laporan pada jam 1.30 tengah hari, Sabtu lalu itu segera menggerakkan anggota dengan bantuan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM), APM serta orang awam, naik ke gunung itu pada jam 3.15 petang bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham yang dikenali sebagai Aliff,17, berkata bapaya yang juga ahli perniagaan memang aktif dalam aktiviti luar, termasuk menunggang motosikal berkuasa tinggi serta mendaki gunung.

Menurut laporan Harian Metro, Aliff berkata, sudah menjadi kelaziman, setiap kali menjalankan aktiviti luar, ayahnya akan berpesan supaya beliau menjaga dua adik yang berusia 11 tahun dan 12 tahun serta ibunya, jika terjadi perkara tidak diingini.

Difahamkan, Allahyarham Azlan adalah adik bongsu kepada Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Profesor Dr Azizul Halim Yahya.
Mayat Pendaki Tiba Di Kaki Gunung Mayat Pendaki Tiba Di Kaki Gunung Reviewed by Unknown on January 15, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.