KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kabinet, Tun Dr S Samy Vellu, mahu rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada kepemimpinan kerajaan sedia ada yang diketuai Datuk Seri Najib Razak untuk membawa negara ke tahap lebih tinggi dan maju.
Beliau yang juga Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan berkata, setiap perdana menteri Barisan Nasional (BN) sudah membuktikan legasi dan kejayaannya masing-masing.
Tanpa mahu menyatakan reaksi terhadap keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan sekali lagi menjadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang, Samy Vellu berkata siapa saja yang mengetuai kerajaan pada masa ini mesti disokong.
"Dr Mahathir adalah pemimpin yang hebat, pemimpin yang baik, saya bekerja dengan dia selama 22 tahun. Saya selalu menyokong dia (ketika dalam kerajaan dulu). Ketika ini sudah tentu saya menyokong pemimpin sedia ada.
"Jadi saya fikir negara kita akan menjadi lebih maju dan masanya akan tiba untuk kita menyaksikan kemajuan sebenar," katanya ketika ditemui ketika hadir pada sambutan Thaipusam di Batu Caves, di sini, hari ini.
Samy Vellu yang juga bekas Presiden MIC, antara Menteri Kabinet kanan yang paling lama berkhidmat dibawah pimpinan Dr Mahathir sejak bekas Perdana Menteri itu mentadbir kerajaan selama 22 tahun.
Beliau juga berharap sambutan Thaipusam yang dirai masyarakat Hindu di negara ini menjadi satu daripada keunikan dan simbol keharmonian Malaysia yang perlu ditunjukkan kepada dunia.- BH Online
Sokonglah Kepemimpinan Sekarang - Samy Vellu
Reviewed by uMieySurianie
on
January 31, 2018
Rating:

No comments: