KUALA LUMPUR - Aksi persahabatan antara skuad hoki negara dan Argentina di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam tadi panas seketika selepas dicemari dengan insiden pergaduhan kedua-dua pasukan.
Insiden tersebut dikatakan berpunca daripada pemain Argentina, Juan Lopez yang memukul kaki Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi kerana tidak berpuas hati dengan gol penyamaan yang dijaringkan penyerang negara itu pada minit ke-31 perlawanan untuk kedudukan 1-1.
Situasi itu menyebabkan pemain Malaysia dan Argentina yang lain berperang mulut dan saling tolak menolak di antara satu sama lain sehingga memaksa perlawanan dihentikan kira-kira lima minit bagi meredakan keadaan.
Keadaan bagaimanapun berjaya dikawal pengadil Nazmi Kamarudin dan Mohd. Rohizan Ramli sebelum memutuskan untuk meneruskan baki permainan sehingga tamat di mana menyaksikan skuad negara tewas 2-3 kepada pasukan No. 2 dunia itu.
Perlawanan persahabatan ini diadakan sebagai persiapan terakhir kedua-dua pasukan menjelang Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Sabtu ini.
Ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen bagaimanapun tidak puas hati dengan insiden pergaduhan berkenaan kerana beliau merasakan Lopez tidak sepatutnya memukul kaki Nik Muhammad Aiman.
"Saya merasakan mereka tidak gembira dengan gol itu kerana mendakwa bola tidak menyentuh kayu hoki pemain (Nik Muhammad Aiman). Saya tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku tetapi ia bukan alasan untuk (Lopez) memukul pemain kita.
"Ini cuma aksi persahabatan dan saya harap ia memberi pengajaran kepada kita supaya lebih fokus dan tidak hilang akal dalam perlawanan. Masalah lebih besar boleh timbul seperti layangan kad kepada pemain (jika gagal kawal perasaan)," katanya selepas tamat perlawanan sebentar tadi.
Sementara itu, kapten Argentina, Pedro Ibarra mahu melupakan insiden pergaduhan itu dan enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
"Apa yang berlaku hari ini biarlah habis di sini dan usahlah dipanjangkan lagi insiden pergaduhan ini," jelasnya.
Dalam aksi malam tadi, Argentina yang juga juara Sukan Olimpik 2016 memperoleh tiga gol menerusi dua jaringan Lucas Villa dan satu daripada Gonzalo Peillat.
Dua gol Malaysian Tigers yang menduduki ranking No. 12 dunia pula dijaringkan Nik Muhammad Aiman dan Muhammad Azri Hassan. - K! ONLINE
Hoki: Pergaduhan cemari aksi persahabatan Malaysia-Argentina
Reviewed by Unknown
on
February 28, 2018
Rating:
No comments: