KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjangkakan projek menara ikoniknya, PNB 118 dapat siap dibina sehingga 40 peratus menjelang akhir tahun ini.
Pengerusi Kumpulannya, Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata sehingga kini projek menara setinggi 118 tingkat itu sudah menyiapkan lapan tingkat dengan jangkaan setiap tingkat dapat disiapkan pada setiap minggu.
"Semua kerja sub struktur sudah siap dan kami sudah pun memulakan kerja struktur utama. Menjelang akhir tahun ini, struktur bangunan akan dapat dilihat dengan lebih jelas," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara PNB Merdeka Venture Sdn Bhd dengan Hyatt Hotels Corporation.
PNB Merdeka Venture diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Tengku Datuk Abdul Aziz Tengku Mahmud manakala Hyatt Hotels oleh Presiden Kumpulan ASPAC, David Udell.
Menerusi perjanjian itu, Hyatt Hotels akan membawa masuk dan mengendalikan Park Hyatt Hotel Kuala Lumpur di menara berkenaan.
Hotel mewah lima bintang itu akan memulakan operasinya di 17 tingkat teratas menara terbabit pada tahun 2021.
Park Hyatt Kuala Lumpur juga adalah penyewa pertama dalam menara ikonik kepunyaan PNB Merdeka Ventures, anak syarikat milik penuh PNB.
Hotel itu bakal menawarkan 232 unit bilik tetamu termasuk 28 suite dan 30 pangsapuri sevis serta ruang persidangan seluas 20,000 kaki persegi.
Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata, selain Park Hyatt, PNB akan mengisi 42 tingkat menara berkenaan manakala 14 tingkat untuk kemudahan ameniti, empat tingkat untuk dek pemerhatian dan 41 tingkat lagi untuk disewa sebagai pejabat.
"Dengan PNB mengisi hampir separuh daripada menara ini, saya melihat tiada isu berlakunya lambakan ruang pejabat di Kuala Lumpur yang tidak diisi ataupun persaingan dengan bangunan pencakar langit yang lain seperti Menara 106 di Tun Razak Exchange," katanya.
Menara yang bakal menjadi bangunan ketiga tertinggi di dunia itu dibina dengan kos pembangunan kasar (GDC) berjumlah RM5 bilion.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata pihaknya memilih Park Hyatt kerana ia bertepatan dengan ciri yang pihaknya mahukan.
"Kami mahukan hotel mewah bertaraf global kerana projek ini (PNB 118) adalah projek pembangunan berkelas dunia yang akan menjadi mercu tanda ikonik untuk Malaysia.
"Kerana itu kami mencari pengendali hotel mewah bertaraf dunia dan Park Hyatt adalah peneraju industri ini dan jika anda pergi ke bandar raya utama di seluruh dunia sama ada di New York atau Tokyo, anda akan menemui jenama ini," katanya. - BHOnline
Hyatt Hotels Penyewa Pertama Menara PNB 118
Reviewed by Azmin
on
February 28, 2018
Rating:
No comments: