Seo Services

Hubungan Kuwait-Malaysia Istimewa, Banyak Kelebihan



KUALA LUMPUR – Hubungan Malaysia dan Kuwait yang terjalin sejak 47 tahun lepas mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan, kata Duta Besar Kuwait ke Malaysia Saad Abdullah Al-Asousi.

“Hubungan ini akan diteruskan dan kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dalam meningkatkan kerjasama dua hala,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Kebangsaan Kuwait yang ke-57 dan Hari Pembebasan Kuwait ke-27 di sebuah hotel di sini pada Isnin malam.

Beliau berkata kehadiran ramai tetamu dan sambutan meriah pada majlis itu membuktikan bahawa hubungan kedua-dua negara amat erat.

Majlis bertema “Pemimpin Bijaksana – Rakyat Setia” itu turut meraikan Ulang Tahun ke-12 pemerintahan Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah sebagai Emir Kuwait.

Lebih 1,000 tetamu disajikan dengan pelbagai juadah Arab dan tempatan termasuk nasi mandy, shawarma serta manisan.

Al-Sousi turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih atas penglibatan Malaysia dan sumbangan negara di Persidangan Antarabangsa Kuwait untuk Pembangunan Semula Iraq yang diadakan di Kuwait City baru-baru ini.

Pada 15 Feb lepas, Malaysia berjanji menyumbang sejumlah US$100,000 untuk pembangunan semula Iraq, yang berdepan kemusnahan infrastruktur akibat peperangan.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal Merican berkata sememangnya hubungan erat yang terjalin antara Kuwait dan Malaysia akan diteruskan.

“Saya berharap hubungan yang terjalin ini akan dapat memacu negara ke arah perkembangan yang lebih mantap dari semua sudut,” katanya. – BERNAMA
Hubungan Kuwait-Malaysia Istimewa, Banyak Kelebihan Hubungan Kuwait-Malaysia Istimewa, Banyak Kelebihan Reviewed by Unknown on February 27, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.