Seo Services

Inspektor, Koperal dipenjara 4 tahun denda RM40,000



IPOH: Seorang Inspektor dan Koperal polis masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah RM8,000 empat tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru membuat keputusan itu selepas meneliti dan berpuas hati dengan hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan dalam kes berkenaan.

Inspektor Mohd Faizal Fauzi, 36, dan Koperal V Ravi Chandran, 50, yang sebelum ini bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, didakwa secara bersama menerima rasuah berkenaan dari K Premnath sebagai dorongan untuk menutup siasatan kes terhadap lelaki berkenaan.

Ia berhubung satu kesalahan yang dilakukan Premnath mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Jelapang, antara jam 7.40 malam hingga 7.55 malam, 2 September 2014.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda dengan lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, DPP Nur Laila Mohamed Nazil, manakala Mohd Faizal dan Ravi Chandran masing-masing diwakili peguam, K Nahtan dan E P Seeralasittan.

Indra Nehru pada mulanya memerintahkan hukuman terhadap kedua-dua tertuduh dilaksanakan berkuatkuasa hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara selepas menerima permohonan daripada kedua-dua peguam bela untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi dengan syarat mereka membayar hukuman denda yang dikenakan.

Indra Nehru turut memerintahkan wang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh yang sebelum ini ditetapkan sebanyak RM10,000 dinaikkan kepada RM15,000 seorang sehingga rayuan terhadap kes berkenaan selesai didengar di Mahkamah Tinggi.-BHOnline
Inspektor, Koperal dipenjara 4 tahun denda RM40,000 Inspektor, Koperal dipenjara 4 tahun denda RM40,000 Reviewed by Unknown on March 28, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.