AKSI ghairah di aplikasi Bigo Live yang pernah ditonjolkan dua selebriti tanah air, Natasha Elyzza dan Fathia Latiff sememangnya tidak boleh dilupakan orang ramai.
Gara-gara video berkenaan, Natasha yang merupakan pelakon baharu dalam industri, mengakui sudah menganggur lebih enam bulan selepas sering digugurkan pihak produksi.
Malah, beberapa stesen televisyen juga menolak daripada mengambilnya berlakon ekoran insiden itu yang menyebabkan dia jarang membuat kemunculan di kaca televisyen kini.
“Saya sudah lebih enam bulan tiada kerja dan tidak buat apa-apa, saya ada dapat tawaran berlakon daripada beberapa produksi tapi nama saya digugurkan.
“Mereka beri alasan nama saya tidak lepas ke stesen televisyen, ia mungkin disebabkan kontroversi tersebut,” katanya dipetik dari portal mStar Online.
Sekitar September tahun lalu, pelakon Kimchi Untuk Awak itu dan rakan aktresnya, Fathia menjadi perhatian netizen selepas video ghairah mereka menari secara langsung di aplikasi itu tersebar di internet.
Pada mulanya, ramai tertanya-tanya siapakah gerangan wanita tidak bertudung yang kelihatan seperti Fathia menari sakan, yang menyebabkan pelakon itu tampil mengaku wanita berkenaan adalah dirinya.
Selepas pengakuan itu, Fathia turut memohon maaf apabila dengan sengaja menunjukkan contoh tidak baik menerusi laman sosial tersebut yang tidak mencerminkan imejnya sebagai wanita berhijab.
Dalam pada itu, Natasha mengakui video berkenaan telah memberi impak negatif terhadap kariernya dan kini menyesal atas tindakannya serta turut menerima pengajaran bermakna daripada perkara yang terjadi.
Jelasnya, dia kini berharap diberi peluang kedua dalam industri lakonan tanah air memandangkan minatnya yang mendalam terhadap bidang tersebut.
“Saya rindu sangat nak berlakon kembali, bukan saya tidak boleh kerja lain tapi minat saya kepada bidang lakonan sangat kuat.
“Saya benar-benar berharap pihak produksi dan stesen televisyen memberi peluang kepada saya untuk kembali seperti dahulu,” ujarnya.
Mengulas mengenai status hubungannya bersama Fathia yang sebelum ini rapat, Natasha berkata kontroversi itu menyebabkan hubungan mereka menjadi renggang namun bukanlah bergaduh.
“Kami tak bergaduh, cuma masing-masing buat hal sendiri lepas perkara itu menjadi kontroversi. Saya faham dia pun melalui fasa yang sukar selepas perkara itu berlaku,” jelasnya. – MYNEWSHUB.CC
Padah Bigo Live, Natasha Menganggur Lebih 6 Bulan
Reviewed by Unknown
on
March 26, 2018
Rating:
No comments: