SIMUNJAN: Kira-kira 50 penghuni yang menetap di rumah pekerja Ladang Indranita Jaya di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman berkenaan musnah terbakar pada awal pagi ini.
Walau bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.34 pagi.
Menurutnya, sebaik sahaja menerima laporan, sepasukan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan dan BBP Kota Samarahan dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Tiba di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar lapan pintu rumah pekerja ladang kelapa sawit tersebut.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman untuk mengawal kebakaran ,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Ling Hii menambah, pasukan bomba mengambil masa lebih dua jam untuk mengawal api sebelum kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.43 pagi.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian dialami mangsa masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE
50 Penghuni Hilang Kediaman, Rumah Pekerja Terbakar Di Simunjan
Reviewed by Unknown
on
April 18, 2018
Rating:
No comments: